Siapa yang suka makan ikan? Ikan adalah makhluk hidup yang terdapat dalam persekitaran akuatik, kecuali beberapa jenis ikan tertentu, tetapi itu topik yang lain.
Ketika hidup dalam air, tubuh ikan mempunyai cara unik untuk menguruskan pengambilan air dan garam dalam badan mereka.
Pernahkah anda terfikir bagaimana ikan ‘minum’, tidak kira ikan air tawar atau air masin?
Mari kita pelajari bagaimana ikan menyesuaikan diri dengan persekitaran mereka dan cara mereka mendapatkan air.
Teknik Ikan Air Tawar Minum Air
Sebelum kita teruskan, mari kita jawab satu soalan utama: Adakah ikan rasa dahaga?
Tidak, ikan tidak merasakan dahaga seperti manusia atau banyak makhluk hidup lain. Tubuh ikan direka oleh Maha Pencipta tanpa memerlukan rasa dahaga, yang sebenarnya bertindak sebagai isyarat untuk kita minum air.
Walaupun begitu, ikan tetap memerlukan air untuk hidup, tetapi cara mereka ‘minum’ adalah jauh berbeza.
Teknik ‘minum’ ikan berbeza mengikut persekitarannya. Ikan air tawar hidup dalam air dengan kandungan garam yang lebih rendah berbanding dengan cecair dalam badan mereka. Perbezaan paras garam ini menyebabkan air masuk ke dalam badan ikan melalui proses osmosis melalui insang dan kulit mereka. Proses ini terjadi secara aktif pada setiap ikan air tawar untuk mendapatkan air dalam tubuh mereka.
Untuk mengelakkan lebihan air dalam badan, ikan air tawar merembeskan air lebihan atau dalam istilah biasa, air kencing yang cair selepas diproses oleh ginjal. Sistem tubuh ikan air tawar sangat efisien dalam menapis air berlebihan sambil mengekalkan garam dan elektrolit penting, membantu mengekalkan keseimbangan cecair dan nutrien dalam badan mereka.
Ikan mempunyai bahagian yang dipanggil cloaca, yang berfungsi sebagai bukaan untuk mengeluarkan najis sama ada dalam bentuk air atau fizikal akibat proses pemakanan. Namun, ada juga ikan yang cloaca-nya hanya untuk mengeluarkan bahan fizikal, manakala mulutnya menjadi saluran untuk mengeluarkan air.
Bagaimana Pula Ikan Air Masin Minum?
Kita telah membincangkan kepentingan kadar garam dalam air dan bagaimana ia mempengaruhi proses ‘minum’ ikan. Berbeza dengan ikan air tawar, ikan air masin hidup di persekitaran di mana air sekelilingnya lebih masin daripada cecair dalam badan mereka, menyebabkan air keluar dari badan ikan melalui osmosis.
Untuk mengimbangi kehilangan air ini, ikan air masin secara aktif akan meminum air laut. Walau bagaimanapun, kerana air laut mempunyai kandungan garam yang tinggi, ini akan menyebabkan kadar garam dalam tubuh ikan meningkat. Untuk menyeimbangkan proses ini, ikan air masin mempunyai sel-sel khas dalam insang mereka yang berfungsi untuk mengeluarkan garam berlebihan, serta ginjal yang mampu menghasilkan air kencing yang pekat untuk mengawal tahap air dalam tubuh ikan.
Sistem ini yang dikenali sebagai osmoregulasi membantu ikan air masin mengekalkan tahap penghidratan yang diperlukan walaupun dalam persekitaran yang tinggi kandungan garam.
Ikan Yang Unik
Sesetengah ikan mempunyai kaedah adaptasi yang unik berbanding kebanyakan ikan dalam menjalankan osmoregulasi mereka. Contohnya, ikan salmon yang mengamalkan migrasi.
Ikan ini mampu berpindah antara kawasan air tawar dan air masin dengan menyesuaikan mekanisme osmoregulasi mereka mengikut perubahan persekitaran. Ikan ini dikenali sebagai ikan anadomous.
Dalam persekitaran air tawar, salmon menyerap air melalui kulit dan insang. Namun, dalam persekitaran air masin, salmon boleh meminum air laut dan tubuhnya memproses serta mengeluarkan garam berlebihan.
Adaptasi semulajadi ini membolehkan salmon dilahirkan dalam air tawar, membesar di laut, dan kemudian kembali ke air tawar untuk membiak.
BACA: Lupa cara bedah, ‘Doktor’ tengok tutorial di Youtube sambil buat pembedahan