Pernahkah Sanusi terfikir tindakannya terhadap imej Islam?

Pernahkah Sanusi terfikir tindakannya terhadap imej Islam?

Sepatutnya aku seronok apabila Sanusi MB Kedah “bergaduh” dengan MIC, atau secara lebih umum dengan penganut agama Hindu dalam isu cuti sempena Thaipusam.

Dari sudut politik, gaduh itu memberi imej buruk kepada MB Kedah dan partinya. Mungkin orang MIC tak akan beralih sokongan kepada parti lain dengan isu ini, tetapi sedikit sebanyak isu ini mempengaruhi sentimen pengundi daripada kaum itu.

Namun, aku melihat dalam konteks yang lebih luas daripada sekadar laba politik. Sanusi selaku MB sebuah kerajaan tidak boleh melihat isu itu dari lubang anak kunci tetapi perlu membuka pintu dan melihatnya secara terus dan terbuka.

Mungkin ada sebahagian orang Islam akan syok kerana Sanusi berani berkeras. Sanusi mungkin dinobat sebagai hero ‘agama’ atau jaguh membela Islam dengan keberanian itu.

Namun pernahkan Sanusi terfikir kesan tindakannya itu kepada Islam, umat Islam di Malaysia dan di seluruh dunia terutama umat Islam di India atau dimana-mana saja?

Berita tindakan Sanusi itu akan tular ke seluruh dunia. Penganut Hindu di Malaysia akan berkongsi berita itu dengan keluarga dan rakan mereka di India, Sri Lanka, Vietnam, Laos bahkan dimana-mana saja.

Dalam dunia berita berada di hujung jari, sedarkah Sanusi risiko tindakannya itu? Eh, takkan sebegitu sekali. Ya, jika berita Sajat bertelekung di Mekah pun mendapat liputan antarabangsa, apatah lagi isu cuti perayaan agama yang sangat sensitif ini.

Pernahkah Sanusi terfikir tentang kemungkinan “tindak balas” ke atas orang Islam di mana-mana negara dengan tindakannya itu? Kita berharap itu tidak berlaku, tetapi tidak mustahil hal itu boleh berlaku.

Kedutaan India di Malaysia tidak akan berdiam diri. Bagaimana dengan hubungan diplomatik Malaysia – India? Bagaimana dengan minyak sawit Malaysia yang diekspot ke sana? Sanusi tahu tak untuk berfikir semua itu?

Sanusi, kamu MB, menteri besar bukannya “member bersembang” kedai kopi. Tindakan kamu atas nama ketua kerajaan negeri, bukan pengarah pilihanraya parti kamu? Kamu faham atau tidak wahai Sanusi?

Kedua, tentunya tindakan kamu memberi imej negatif kepada Islam, jika tidak banyak, sedikit tetap ada kerana kamu orang Islam. MB beragama Islam.

Tindakan itu memberi imej Islam sebagai agama yang tidak meraikan kepelbagaian, tidak bertolak-ansur dengan keberlainan. Wajah Islam sedikit sebanyak terconteng arang dengan tindakan itu. Kamu tak fikirkah wahai Sanusi?

Jika kesan tindakan kamu hanya ke atas diri kamu, penyokong kamu dan parti kamu sahaja, lantaklah kamu nak buat apa pun. Tapi masalahnya, tindakan kamu memberi kesan negatif kepada keharmonian hubungan antara agama, hubungan antara negara bahkan tidak mustahil boleh membawa kepada isu-isu berkaitan keselamatan.

Sanusi, aku nasihati kamu, lain kali sebelum bertindak apa-apa, fikirlah dengan masak tentang implikasinya. Kita bukan lagi hidup di zaman pelita minyak gas tetapi di zaman maklumat berada di hujung jari.

Aku tak perlu nasihat kamu sebab kamu tak akan dengar, tetapi paling penting aku sudah memberi nasihat. Kamu nak dengar atau tidak, itu kamu punya pasal. –FB