Peronda polis ‘sondol’ bas parkir tepi jalan cetus perbalahan netizen

Oleh AHMAD YUSOF MUSTAPHA

KEMALANGAN membabitkan kereta peronda polis dengan sebuah bas pekerja yang diparkir di tepi jalan baru-baru ini mencetuskan perbalahan dalam kalangan pengguna media sosial.

Beberapa foto kejadian itu dikongsikan menerusi satu ciapan seorang pengendali akaun laman X (Twitter), @HaiqalKylo pada Rabu.

Menerusi ciapan tersebut, pemilik akaun mendakwa, kecuaian anggota polis yang memandu dalam keadaan mengantuk dipercayai menjadi punca mengakibatkan kenderaan itu merempuh bas berkenaan.

“Aku susah nak tularkan orang tapi hari ini aku rasa patut beritahu satu Malaysia bahawa wujud polis dari n***** macam ini.

“Situasi dia, bas parkir tepi jalan, polis ronda malam-malam mengantuk (sebelum) melanggar bas. Kemudian polis saman pemilik bas sebab parkir di situ?” ciapnya.

Peronda polis ‘sondol’ bas parkir tepi jalan cetus perbalahan netizen

Seolah-olah tidak berpuas hati, individu itu mempersoalkan tindakan anggota polis yang menyaman pemilik bas tersebut.

“Kenapa saman pemilik bas? Alasan sebab bas parkir bukan di tempat sepatutnya?

“Lepas itu nak parkir dekat mana kalau bukan tepi jalan? Hang sedar tak polis kalau tak langgar bas, hang langgar rumah orang tepi jalan. Tapi masih salahkan bas? Hahaha…good job polis.

“Nak tuntut insurans paling cepat tiga bulan, bas kilang kena jalan setiap hari. Mahu tidak mahu pemilik kena keluarkan duit RM6,000 dulu nak baiki bas,” tulisnya lagi.

Bagaimanapun, ciapan pengendali akaun tersebut mendapat tentangan daripada pengguna lain, dengan kebanyakannya mendakwa kemalangan itu adalah berpunca daripada tindakan pemandu bas yang meletakkan kenderaannya di tepi jalan.

“Bukan nk pertahankan (polis) tapi memang salah bas parkir macam itu bang, makan jalan pula tu. Banyak berlaku kes langgar belakang sebab parkir tepi jalan,” kata @ABB5011.

Sementara itu, @IWANJELA berpandangan, bas tersebut sememangnya melakukan kesalahan dengan meletakkan kenderaan berat di bahu jalan hingga berisiko mengundang bahaya kepada pengguna jalan raya lain.

“Bas itu memang salah sebab sebelah tayar dia keluar ke jalan. Kedua-dua tayar luar jalan (atas rumput),” ujarnya.

Menyokong hantaran itu, @PAB10I5 turut menegaskan, kebanyakan pihak berkuasa tempatan (PBT) juga tidak membenarkan bas parkir di kawasan yang tidak sepatutnya.

“Tepi jalan itu memang gazet untuk parkir bas ke? Beberapa syarikat pengendali pengangkutan yang aku kenal sanggup saja sewa, bayar bulan untuk kawasan parkir yang betul,” katanya.

Bagaimanapun, lokasi dan tarikh sebenar kejadian masih belum dapat dipastikan.

BACA: “Pertama kali aku nampak mak menangis, rupanya family ayah senyap-senyap tukar hak milik dan curi duit company masa ayah koma”