Persiapan untuk Umno bekerjasama dengan PH sedang dibuat – Sumber

Persiapan untuk Umno bekerjasama dengan PH sedang dibuat – Sumber

Umno sedang mempersiapkan minda dan jiwa para penyokong dan pemimpin bawahan mereka untuk membolehkan mereka membuat jajaran politik baru termasuk bekerjasama dengan DAP, musuh yang sering menjadi sasaran mereka selama ini.

Dalam masa yang sama juga, seluruh kepimpinan Umno juga dipersiapkan untuk meninggalkan kerajaan Perikatan Nasional pimpinan Bersatu dan meninggalkan Pas juga.

Sehingga kini, media melaporkan, sebanyak 189 daripada 191 bahagian Umno menolak kerjasama dengan Bersatu dalam pilihan raya umum ke-15 (PRU15).

Perkara itu diputuskan dalam mesyuarat bahagian-bahagian itu yang berjalan mulai Jumaat lepas.

Hanya satu bahagian di Kelantan dan satu di Perlis bersedia mempertahankan kerjasama sedia ada, berdasarkan kenyataan pemimpin dari bahagian tersebut.

Di Terengganu dan Kelantan pula, pemimpin Umno menolak kerjasama diteruskan dengan Pas kerana bagi mereka, parti yang memerintah Kelantan dan Terengganu itu tidak pernah ikhlas bekerjasama dengan mereka.

Ketua Umno Bahagian Kuala Krai, Mohamad Zulkepli Omar (gambar) dalam taklimatnya kepada pemimpin Umno Bahagian berkata, pemimpin Umno berpendapat, mereka tidak boleh berdiri sendiri buat masa ini dan perlukan kerjasama.

Tetapi Bersatu telah menunjukkan belangnya dengan mencuri ahli-ahli dan pemimpin Umno dengan pelbagai cara dengan tujuan untuk membunuh Umno.

“Sebagaimana yang dibuat oleh Peja (Datuk Seri Faizal Azumu, MB Perak) di Perak, dia nak tukar habis Umno dan jadikan Bersatu.

“Macam di Kuala Krai juga, dia nak tukar habis Umno Kuala Krai jadi Bersatu. Mereka memang mampuskan Umno. Memang kerjaaan (usaha) Muhyiddin Yassin ini nak mampuskan Umno. Hok ganti Umno adalah Bersatu,” kata bekas Adun manik Urai itu.

Sehubungan dengan itu, katanya, Umno perlukan bantuan dari parti-parti lain.

“Nak bersama Bersatu tak munasabah doh kerana dia nak bunuh kita. Nak pergi ke Pas, semua kita kenal belaka doh sebab Pas ni luar sahaja yang bersama kita,” kata beliau.

Menurut beliau, pemimpin Umno sudah cukup kecewa dengan Perikatan Nasional dan jika jika ia diteruskan dalam keadaan sekarang, Umno akan rugi dan akan pupus selamanya dibunuh oleh Bersatu.

“Kita cukup kecewa benar dengan Perikatan Nasional. Masa penggulungan Belanjawan baru-baru ini, kita nak jatuhkan dah tetapi kita berfikir ia akan memberikan kesan tak baik kepada kita kerana apa yang dia tuntut, dia ikut belaka dah. Umno akan didakwa oleh rakyat sebagai pengkhianat sebenar,” katanya.

Namun, kata Zulkepli menerusi audio yang disebarkan itu, yang pasti kerajaan PN ini akan runtuh juga awal tahun ini dan Umno perlu bekerjasama dengan pihak lain untuk kembalikan kuasa Umno bukan setakat dengan BN sahaja.

“Nak kembalikan kuasa kepada Umno semula payah tanpa kerjasama dengan parti-parti lain. Nak harapkan MCA dan MIC ini tidak rok (cukup kuat). Dia menang bila bertanding di kawasan Melayu sahaja. Kawasan bukan Melayu kalah, menang DAP,” kata beliau.

Menurut beliau, akan berlaku sesuatu tidak lama lagi kepada kerajaan PN ini samada kerajaan akan dibubarkan atau kerajan baru akan terbentuk.

“Kalau Yang Dipertuan Agong mahu Parlimen dibubarkan, maka pilihan raya semulalah kita.

“Tetapi jika Agong mahu yang ada ini dikekalkan kerana masa ada dua tahun setengah lagi, maka kerajaan baru akan naik,” kata beliau.

Bagi beliau, Umno tidak akan mampu membentuk kerajaan baru dengan hanya MP yang ada sahaja dan memerlukan kerjasama dengan parti lain.

“Sekiranya kita perlukan kerjasama dengan orang lain, dengan PKR atau DAP sekalipun, maka saya berharap adik kakak di kampung boleh terima.

“Ambo nak dengar ni, boleh ke dok,” tanya beliau dengan dijawab oleh penyokong Umno itu “Bolehhh”.

Beliau mahu, semua ahli dan penyokong Umno menerima bahawa Umno perlu bekerjasama dengan DAP jika mahu berada dalam kerajaan semula.

“Memanglah susah kerana apa yang kita tak kata kat DAP sebelum ini. Ambo (saya) sendiri dok kata kapir harbi kepada puak-puak ini.

“Tetapi saya nak peringatkan, jika kita tidak bekerjasama dengan kafir ni, kita tidak akan boleh jadi kerajaan semula,” kata beliau.

Berita penuh : https://malaysiadateline.com/umno-sedang-siapkan-akar-umbi-untuk-kerjasama-dengan-dap/