Angkatan Bersatu Anak Muda (Armada) Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) telah membuat laporan polis berkenaan video tular yang melibatkan Presidennya, Tan Sri Muhyiddin Yassin.
Ketuanya, Wan Ahmad Fayhsal Wan Ahmad Kamal, berkata laporan tersebut dibuat terhadap akaun
media sosial yang memuat naik video berbaur fitnah yang melibatkan komponen Kerajaan Perpaduan.
Menurutnya, rakaman tersebut telah disunting sedemikian rupa sehingga seolah-olah Muhyiddin mempertikaikan tugas dan peranan Yang di-Pertuan Agong (YDPA) ke-16.
“Punca masalah ini adalah kerana laman media tersebut telah menyunting rakaman kempen Muhyiddin secara salah dengan niat untuk melaga-lagakan Perikatan Nasional (PN) dan Raja-Raja Melayu.
“Ini adalah tindakan yang tidak bertanggungjawab kerana menggunakan rakaman singkat untuk mencetuskan provokasi, melagakan serta menyebarkan maklumat yang salah kepada rakyat,” katanya selepas membuat laporan polis di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Dang Wangi pada hari Selasa.
Sebelum ini, sebuah rakaman tular menunjukkan bekas Perdana Menteri tersebut seolah-olah sengaja dan sinis mempertikaikan tugas dan peranan Sultan Pahang, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah ketika baginda menjadi YDPA ke-16.
Susulan itu, Tengku Mahkota Pahang, Tengku Hassanal Ibrahim Alam Shah, telah meluahkan rasa marah dan kecewa terhadap tindakan Muhyiddin yang dianggap memanipulasi fakta dan membawa naratif negatif kepada rakyat, seolah-olah Al-Sultan Abdullah tidak berlaku adil semasa memilih Perdana Menteri ke-10.
Akibat daripada itu, Istana Pahang telah membuat laporan terhadap Muhyiddin kerana menyentuh isu agama, raja, dan kaum (3R) semasa berkempen dalam Pilihan Raya Kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri (DUN) Nenggiri.
Mengulas lanjut, Wan Ahmad Fayhsal menegaskan bahawa video tular tersebut bertentangan dengan perjuangan parti yang secara asasnya mempertahankan agama, bangsa, dan negara.
“Tidak mungkin kami (pembangkang) cuba untuk meruntuhkan institusi raja, sedangkan kami adalah pihak yang paling lantang mempertahankan hak Melayu dan Islam ketika UMNO di Parlimen berdiam diri.
“Oleh itu, kami bangkit untuk mempertahankan dan menangkis tuduhan daripada pihak ini.
“Ini adalah permainan politik dan usaha untuk membunuh watak Muhyiddin,” ujarnya.
BACA: ‘Move on lah, awak tak dapat jadi PM’, KJ tegur Muhyiddin