Peruncit di KL tiada masalah dengan larangan jualan arak

Peruncit di KL tiada masalah dengan larangan jualan arak

Nampaknya timbul sedikit kebimbangan dalam kalangan peruncit berhubung pengumuman kedai ubat Cina, runcit dan serbaneka di Kuala Lumpur akan kehilangan hak menjual minuman keras mulai 1 Okt 2021.

“Saya yakin ia akan menjejaskan perniagaan, tetapi jualan minuman keras hanya merangkumi kira-kira 5% jualan bulanan kami,” kata seorang pekerja Kedai Ubat dan Pasar Mini Foh Hin di Kuchai Lama.

“Kami menjual kira-kira RM1,000 hingga RM2,000 daripadanya sebulan, tetapi secara umum, jualan turun 30% sejak PKP (perintah kawalan pergerakan) bermula Mac lalu.”

Katanya, kedainya mungkin perlu menghabiskan stok dengan harga murah susulan penguatkuasaan larangan itu.

Isnin lalu, Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) mengumumkan garis panduan lesen minuman keras 2021. Bir dan produk minuman keras campuran dalam ubat tradisional akan dikecualikan daripada larangan itu.

Bir boleh dijual di premis itu mulai 7 pagi hingga 9 malam, tetapi perlu diletakkan secara berasingan daripada minuman lain.

Pemilik sebuah kedai ubat Cina di Taman Desa nampaknya tidak terganggu dengan pengumuman itu.

“Ia tiada perbezaan bagi saya. Orang tidak membeli dari kedai kami lagi. Mereka lebih gemar membelinya daripada kedai wain dan arak khas atau pasar raya sekarang.

“Kami tidak membeli stok baru lagi.”

Katanya, pekerja asing ialah pelanggan tetapnya dahulu, tetapi kebanyakan mereka kini membeli minuman keras palsu dan seludup yang murah serta mudah diperolehi.

Seorang pekerja di sebuah kedai runcit berdekatan berkata, larangan itu hanya mempunyai kesan kecil ke atas jualan majikannya.

“Sukar menjual walaupun sebotol sebulan sekarang. Jualan minuman keras tidak baik walaupun sebelum PKP. Perniagaan merosot 40% atau 50% sejak itu.”

Albert Chooi, setiausaha 2 kumpulan perniagaan berkata, larangan itu akan menjejaskan hampir 300 kedai ubat Cina, runcit dan serbaneka yang kini menjual minuman keras di Kuala Lumpur.

Kelonggaran syarat jualan minuman keras ialah kebiasaan di hampir setiap ibu kota di seluruh dunia, katanya, larangan itu akan menyebabkan penurunan hasil cukai bagi Kuala Lumpur.

Setiausaha Persatuan Peniaga Minuman Keras Cina Selangor dan Kuala Lumpur serta Persatuan Peniaga Minuman Keras Bersekutu Malaya itu, tidak gembira kumpulan perdagangan dan perniagaan terjejas tidak dibawa berbincang sebelum keputusan itu diumumkan.

“Ia tidak masuk akal. Apa tujuan larangan ini? Peruncit ini menjual tanpa sebarang masalah selama ini dan sekarang DBKL tiba-tiba mengeluarkan larangan ini. Ia akan menyukarkan mereka mencari rezeki.”

Berita penuh : https://www.freemalaysiatoday.com/category/bahasa/tempatan/2020/11/20/kedai-di-kl-tiada-masalah-larangan-jual-minuman-keras/

COMMENTS