Peruntukan kepada pembangkang adalah untuk rakyat yang diwakili – Mujahid

Peruntukan kepada pembangkang adalah untuk rakyat yang diwakili – Mujahid

Heboh pertemuan TSMY dan parti-parti PN bertemu untuk membincangkan cadangan sokongan bajet oleh pembangkang dengan syarat MP pembangkang dapat peruntukan untuk kawasan masing-masing. UMNO nampaknya tidak berapa setuju termasuk kenyataan Yb DS Nazri Aziz, Yb DS Azalina dan Yb DS Tajudin Abd Rahman. Malah dikatan DS Zahid telah keluar mesyuarat tanda protes.

Di kalangan pembangkang juga ada dengar desas-desus ini, katanya atas semangat CSA atau Confidence and Supply Agreement. Ia adalah satu persetujuan blok-blok dalam parlimen untuk bersetuju atau berkecuali bagi meluluskan usul kerajaan termasuk RUU Perbekalan (Bajet). Amalan ini dibuat di kalangan parlimen komonwel dalam keadaan Parlimen tergantung (hung) kerana kerajaan adalah minoriti (a minority government).

Ini menimbulkan berbagai persepsi terhadap keseluruhan polemik bajet 2021 seolah ada kompromi antara pembangkang dan kerajaan TSMY. Apa jadi pada undi tidak percaya pembangkang? Adakah ini kaedah berbalas sokongan? atau quid pro quo, ‘anda urut belakang saya, saya urut belakang anda’.

Saya ada pandangan dalam hal ini. Secara prinsipnya soal ini tidak perlu timbul kerana peruntukan MP adalah peruntukan untuk rakyat yang diwakili. Bezanya amalan di Malaysia selama ini ialah MP pembangkang tidak mendapat peruntukan langsung dan kerana itu hak mendapat peruntukan pembangkang pernah dibawa ke mahkamah oleh mantan MP Sungei Siput Yb Jayakumar atas prinsip berhak. Kes itu ditolak kerana peruntukan itu diambil dari alokasi bajet JPM yang berhak membuat keputusan siapa yang layak menerimanya.

Semasa PH memerintah, hak diberi kepada pembangkang tetapi tidak saksama. Jujurnya PH juga masih kekal di takok lama dalam hal ini. Apa pun, atas prinsip menghormati keputusan rakyat, kerajaan tidak boleh ‘mendera’ pengundi dengan tidak memberi hak peruntukan hanya kerana pilihan mereka tidak berpihak kepada parti kerajaan.

Mengembalikan hak ini adalah menghormati pilihan rakyat secara demokratik dan tidak sepatutnya dijadikan suatu urusan yang perlu ditagih dan dirayu dan dijadikan elemen tawar menawar! Tetapi, oleh kerana hak ini dinafikan oleh BN, PH dan PN maka mengembalikan peruntukan ini telah terdedah menjadi bahan dalam rundingan politik demi memulihkan landasan asal dan menjadi hak tetap.

Pada waktu yang sama untuk memberi keadilan kepada konsep CSA ia menuntut Parlimen mestilah tergantung dan kerajaan adalah minoriti. Persoalannya apakah Parlimen tergantung? Adakah TSMY memiliki kerajaan minoriti? Selagi tidak terjawab secara kata putus dan bukan agak-agak maka apakah CSA relevan untuk dibincangkan? Apakah inisiatif CSA membayangkan kerajaan PN tiada majoriti dan dijangka akan kalah dalam usul undi bajet 2021?
Saya berbalik kepada prinsip asal bahawa bajet 2021adalah peluang buat-semula atau re-booting segala ketempangan asas demokrasi. Walaupun rundingan mengembalikan hak peruntukan pembangkang tidak boleh dijadikan tawaran quid pro quo tetapi ketempangan demokrasi kita ‘memaksa’ isu ini dimasukkan dalam agenda dalam suasana krisis politik yang kita lalui. Lagipun perlu ditegaskan hak peruntukan MP adalah untuk dikembalikan kepada rakyat khusus musim covid ini, bukan untuk masuk ke poket MP-MP atau pegawainya.

DS Dr Mujahid Yusof Rawa
Naib Presiden AMANAH
Ahli Parlimen Parit Buntar
4/11/2020

Sumber :