Pesalah PKP : Mendidik bukan penjara, AWAN sokong kerja sosial

Pesalah PKP : Mendidik bukan penjara, AWAN sokong kerja sosial

Angkatan Wanita Amanah (Awan) Negeri Kelantan menyokong permintaan Jabatan Penjara kepada mahkamah supaya berhenti menjatuhkan hukuman penjara kepada pesalah yang melanggar Perintah Kawalan Pergerakan (PKP).

Ketua Pengarah Jabatan Penjara Zulkifli Omar dilaporkan berkata dalam surat yang ditujukan kepada Ketua Pendaftar Mahkamah Persekutuan Ahmad Terrirudin Mohd Salleh, langkah memenjarakan pesalah akan menyebabkan kesesakan di penjara. Dalam musim wabak Corona Virus ini adalah “mustahil” untuk melaksanakan langkah menjaga jarak antara satu sama lain di dalam penjara.

Beliau sebaliknya menyarankan agar pesalah pesalah pelanggaran PKP ini dikenakan Perintah Kerja Sosial di bawah Akta Kehadiran Wajib 1954 di mana mereka dikenakan hukuman menjalani perintah khidmat masyarakat tanpa menjalani hukuman pemenjaraan.

Zulkifli berkata rekod Jabatan Penjara menunjukkan sehingga 1 April 2020 seramai 378 orang telah dikenakan hukuman penjara atas kesalahan perlanggaran PKP.

Peraturan 7(1) Peraturan-Peraturan Pencegahan dan Pengawalan Penyakit Berjangkit (Langkah-Langkah Di Dalam Kawasan Tempatan Jangkitan) 2020, memperuntukkan hukuman denda maksimum RM1,000 atau penjara tidak melebihi enam bulan atau kedua-duanya, jika sabit kesalahan.

Kebanyakan pesalah ini berumur muda dan berkemungkinan menghadapi masalah untuk membayar denda yang dikenakan. Maka sewajarnya mereka diberikan peluang kedua untuk memperbaiki kesalahan yang mereka lakukan

Persoalannya adalah mekanisma apa dan bagaimana khidmat sosial dan kemasyarakatan ini boleh dilakukan.

Awan menyarankan perlaksanaan perintah khidmat masyarakat diselaraskan dengan pihak Jabatan Kebajikan Masyarakat, pihak Agensi Pengurusan Bencana (Nadma) dan juga Badan-badan Kebajikan Bukan Kerajaan (NGO) dengan Peraturan dan SOP yang jelas.

Pengalaman berkhidmat di Rumah Jagaan Warga Emas atau menghantar bantuan kepada orang miskin serta melarat contohnya akan dapat melahirkan keinsafan dalam kalangan pesalah disamping menambah sumber tenaga kepada agensi bantuan kerajaan dan bukan kerajaan di musim Wabak Covid-19 ini.

Semoga negara kita bergerak selangkah ke arah mendidik dan memulihkan pesalah dan banduan bukan hanya memberikan tumpuan kepada hukuman

Dr Hafidzah Mustakim
Ketua Awan Negeri Kelantan