Mahkamah Rayuan Putrajaya hari ini mengekalkan keputusan Mahkamah Tinggi Ipoh sebelum ini yang memerintahkan Pesuruhjaya Pas Perak, Razman Zakaria membayar RM200,000 kepada Timbalan Pengerusi AMANAH Perak, Datuk Seri Ir Mohammad Nizar Jamaluddin.
Adun Gunung Semanggol itu didapati bersalah memfitnah Mantan Menteri Besar Perak itu dalam satu rencana yang disiarkan akhbar Sinar Harian edisi Perak bertarikh 2 Jun 2015 bertajuk “Pendekatan Nizar Mirip DAP”.
Hakim Mahkamah Rayuan yang diketuai Datuk Dr. Badariah Sahamid turut memerintahkan Razman membayar kos sebanyak RM10,000.
Mahkamah Tinggi Ipoh sebelum ini telah menolak rayuan Razman untuk mengenepikan keputusan Mahkamah Sesyen Ipoh yang memerintahkan Razman membayar ganti rugi sebanyak RM200,000 dengan kos RM5000.
Ketika dihubungi, Peguam Nizar, Mohd Fitri Asmuni berkata, tiada perubahan atau pengeditan berlaku dalam artikel yang disiarkan oleh akhbar tersebut, bermakna artikel tersebut adalah tepat seperti yang diungkapkan oleh Razman.
“Wartawan tersebut berulang kali mengatakan bahawa beliau tidak mengubah kenyataan asal yang dikeluarkan oleh Razman dan mereka tiada hak untuk mengubah pernyataan yang diungkapkan oleh Razman.
“Setelah menilai segala penghujahan, panel hakim sebulat suara berpendapat rayuan yang dikemukakan oleh Razman tidak berasas dan mengekalkan keputusan Mahkamah Tinggi Ipoh,” katanya.
Ketika ditanya tentang tempoh bayaran ganti rugi tersebut, Mohd Fitri yang juga Naib Ketua Pemuda AMANAH Perak berkata beliau akan menuntut pembayaran tersebut dilakukan segera oleh Razman selepas memperolehi perintah termeterai daripada mahkamah nanti.
Sumber : https://perakinsights.com/2019/11/13/razman-terbukti-bersalah-memfitnah-diarah-bayar-rm200-ribu-kepada-nizar/?fbclid=IwAR1EpWn3RzYmr8xZF3jqMp6QgzJfHnMGtNQj36nfUlS1geDZOsV-sC4GfXQ