PH dan blok bebas masih terus jalin kerjasama

PH dan blok bebas masih terus jalin kerjasama

Gabungan rapuh Perikatan Nasional yang membentuk kerajaan pintu belakang, Mac lalu, digambarkan sedang serius membincangkan persiapan menghadapi pilihan raya mengejut PRU15.

Namun, tidak mudah bagi tiga parti utama Perikatan Nasional (PN), iaitu Bersatu, Umno dan Pas menjalin persefahaman terutama dalam proses agihan kerusi nanti, apabila semuanya tertumpu kepada konstituensi yang hampir sama. Kumpulan Azmin Ali yang belum berparti turut dijangka mengusutkan lagi keadaan.

Dalam masa sama, di pihak yang bertentangan, yakni barisan pembangkang, situasi hampir sama juga melanda Pakatan Harapan. Sudahlah Bersatu tidak bersama PH lagi, koalisi PH Plus yang turut menggabungkan Warisan dan penyokong Dr Mahathir Mohamad kini memisahkan diri membentuk blok bebas.

Sememangnya politik itu bersifat dinamik, cepat berubah. Setiap kali menjelang pilihan raya, senarionya tidak sama. Umpamanya, situasi PRU13 berbeda dengan PRU14. Di kala undi popular pembangkang melepasi 50 peratus pada 2013, berdepan PRU 2018, siapa sangka Pas tidak lagi bersama “grand coalition” oposisi? Dan siapa pula pernah menjangka Mahathir dan bekas timbalan perdana menteri, Muhyiddin Yassin menubuhkan Bersatu, parti saingan terdekat Umno? Lebih daripada itu, siapa boleh menduga Mahathir boleh berpakat dengan Anwar Ibrahim, dan mengetua gabungan pembangkang, Pakatan Harapan?

Begitu juga lanskap politik mutakhir ini; segalanya nampak macam berserabut dan tidak menentu. Sukar untuk membuat unjuran. Kedua-dua gabungan, pemerintah mahupun pembangkang, seperti tidak stabil dan menimbulkan banyak teka-teki. Keabsahan kerajaan PN pun belum diperolehi. Debaran makin kuat menjelang sidang Parlimen minggu depan.

Benarlah kata bijak pandai, dalam politik tiada yang kekal, termasuk musuh ataupun sekutu. Kelmarin mungkin berseteru, seperti Pas dan Umno, tapi hari ini boleh menjadi teman rapat, namun esok belum tentu lagi. Bersatu dan Umno boleh bersekongkol menjatuhkan kerajaan PH pimpinan Mahathir, pengasas Bersatu, tapi berdepan PRU15 nanti, belum pasti lagi sama ada dua parti Melayu itu serasi dan berada dalam satu koalisi yang sama.

Kedudukan barisan pembangkang kini agak goyah. Yang pasti Pakatan Harapan tinggal tiga parti berbanding empat dahulu. Gabungan PH Plus pun sudah terburai selepas Amanah dan DAP seperti tidak dapat menerima sepenuhnya cadangan Mahathir menamakan Presiden Warisan Shafie Apdal sebagai calon PM ke-9. PH mengekalkan Anwar untuk menyandang jawatan tertinggi itu, dan pada masa sama memberi mandat kepada Presiden PKR itu untuk berunding dengan Shafie bagi mendapatkan “cukup bilang”.

Gosip juga bertiup kencang, kemungkinan Anwar membentuk regu yang baharu, termasuk bersama kumpulan Muhyiddin dan penyokongnya. Bilangan ahli Parlimen PH sememangnya jauh daripada mencukupi untuk membentuk kerajaan. Maknanya, Anwar harus berupaya mempengaruhi sejumlah wakil rakyat di luar PH jika masih berhasrat menjadi PM sebelum PRU15.

Peranan dan faktor Mahathir untuk merebut balik Putrajaya yang dirampas lebih empat bulan itu, pada hemat saya, tidak boleh dinafikan. Dalam usia 95 tahun, Mahathir masih dilihat boleh membantu agar mandat rakyat dalam PRU14 lalu dimartabatkan kembali. Meskipun tidak lagi berada dalam gabungan PH Plus, sekurang-kurangnya Mahathir masih tidak bersama Muhyiddin dan PN. Mahathir dan PH masih “berkongsi” seteru politik yang sama. Dan diharap musuh politik Anwar dan Mahathir juga daripada kelompok yang sama. Senario menjadi rumit jika kedua-dua sosok ini mempunyai seteru yang berbeda.

Selepas DAP keluar daripada Barisan Alternatif pada 2001, pembangkang tetap utuh berdepan PRU 2008. Hasilnya BN dapat ditumbangkan di lima negeri dan majoriti dua pertiga di Dewan Rakyat dapat dinafikan. Kuncinya PKR, Pas dan DAP tetap menentang musuh yang sama, iaitu BN, meskipun ketiga-tiganya tidak lagi dalam koalisi yang sama. Lagipun parti-parti berkenaan masih mengekalkan persefahaman untuk tidak bertanding sesama sendiri, kecuali dua tiga kes terpencil. Hasilnya, gabungan baharu, Pakatan Rakyat, dapat dibentuk selepas PRU13.

Justeru, saya amat harapkan, kerjasama dan persefahaman di antara PH dengan Warisan dan kumpulan penyokong Mahathir akan terus terjalin, walaupun sudah berada dalam blok yang berbeda. Di samping memperkukuh parti masing-masing dalam rangka persiapan PRU15 yang mungkin diadakan secara mengejut, peluang untuk merebut kembali kuasa yang dirampas itu, tidak wajar disia-siakan. Orang politik sememangnya dilatih untuk memikul pelbagai tugas dan tanggungjawab berat dalam satu masa yang sama!

Berita penuh : https://malaysiadateline.com/meskipun-dalam-blok-berbeda-parti-pembangkang-masih-boleh-jalin-kerjasama/