PH harus pastikan kerajaan PH Selangor dipertahankan

PH harus pastikan kerajaan PH Selangor dipertahankan

Selepas tumbangnya Pakatan Harapan (PH) di Kedah, timbul pula khabar angin yang meletakkan kedudukan Negeri Selangor sebagai sasaran seterusnya bakal jatuh ke tangan Perikatan Nasional (PN).

Menurut Naib Ketua Pemuda AMANAH Gombak, Syazmir Hariz Noorazalan, usaha pihak lawan yang menawarkan pelbagai ganjaran kepada wakil rakyat PH agar mereka meninggalkan PH Selangor harus diberikan perhatian oleh pimpinan pusat.

Malah katanya, setelah berlaku aksi lompat-melompat beberapa wakil rakyat dari PKR dan Bersatu di Kedah, PH wajar mengambil langkah berjaga-jaga bagi memastikan tiada wakil rakyat di Selangor yang berpaling tadah.

“Politikus yang menjadi pengkhianat utama tumbangnya kerajaan PH Persekutuan, tidak akan berdiam diri untuk mengganggu-gugat kestabilan kerajaan PH Selangor.

“Saya memohon agar pimpinan pusat dari PKR, AMANAH dan DAP turun melihat kedudukan PH Selangor dari segi pengurusan organisasi dan kerjasama antara tiga parti agar mampu diperkemaskan,” katanya dalam satu kenyataan kepada Malaysia Dateline hari ini.

Tambah Syazmir lagi, dalam keadaan perhatian tertumpu kepada wabak Covid-19, PH masih perlu mengawasi dan mengambil langkah terbaik untuk memastikan kerajaan Selangor dipertahankan.

Pada masa sama, beliau turut menyeru agar penduduk Selangor menolak sebarang usaha untuk membelakangkan mandat rakyat.

“Justeru, wakil-wakil rakyat yang membelakangkan mandat rakyat perlu ditolak dalam Pilihan Raya Umum (PRU) akan datang,” ujar beliau yang juga Biro Komunikasi Pemuda AMANAH Selangor.

Berita Penuh :https://malaysiadateline.com/pastikan-tiada-wakil-rakyat-berpaling-tadah-di-selangor/?utm_source=dlvr.it&utm_medium=facebook