PH jaga hak penjaja WP, pastikan undang-undang dipatuhi

PH jaga hak penjaja WP, pastikan undang-undang dipatuhi

4 Jun 2020 tular di media sosial bagaimana seorang peniaga wanita sujud syukur di atas jalan kerana teruja dan berterima kasihnya dia telah diserahkan lesen penjaja oleh Menteri Wilayah Persekutuan, Tan Sri Annuar Musa (TSAM). Laporan akhbar Wilayahku dirujuk menyatakan bahawa :

“Selepas menanti selama 35 tahun untuk berniaga secara sah, Minah Awang, atau lebih dikenali sebagai Che Nah terus melakukan sujud syukur setelah menerima lesen perniagaan Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) kira-kira pukul 8 pagi tadi.

Lesen Penjaja Beredar itu diserahkan sendiri Menteri Wilayah Persekutuan, Tan Sri TPr. Annuar Musa di lot parkir Jalan Medan Setia 1, Bukit Damansara.

Sejurus menerima lesen, Minah secara spontan bersujud syukur menyebabkan Annuar tersentak dengan perbuatannya itu.”

Ramai yang memuji tindakan TSAM yang turun sendiri menyampaikan lesen malah tidak kurang juga memuji tindakan menteri tersebut yang dikatakan memudahkan urusan para peniaga.

Tak dinafikan tindakan menteri tersebut baik tetapi di dalam baik itu terdapat juga konflik undang-undang dan peraturan.

Kita lihat di mana loksai Mak Cik Che Nah berniaga. Lokasinya jelas disebut di lot parkir Jalan Medan Setia 1, Bukit Damansara. Jika dilihat di dalam video yang tular juga dengan jelas kita dapati Che Nah berniaga di dalam lot parkir di tepi jalan. Selain itu Che Nah juga membuka beberapa meja di atas siarkaki untuk pelanggan.

Che Nah sebenarnya telah melanggar beberapa peraturan dan undang-undang di bawah Akta Pengangkutan Jalan 1987 dan juga Akta Jalan, Parit dan Bangunan 1974 kerana melakukan halangan.

Che Nah memberitahu media bahawa ““Sejak 35 tahun lalu, saya sering turun naik ke Pejabat DBKL untuk memohon lesen penjaja. Malah sudah lima orang Datuk Bandar silih berganti, namun alasan yang dinyatakan adalah permohonan lesen tersebut dibekukan,”.

Selama 22 bulan pentadbiran kami di Kementerian Wilayah Persekutuan, kami menjunjung prinsip “Rule of Law”. Segala apa tindakan dan urusan yang dilakukan hendaklah mengikut undang-undang dan peraturan sedia ada.

Polisi DBKL dalam memberikan lesen penjaja kepada para peniaga antaranya tidak boleh di atas siarkaki, tidak boleh didirikan struktur kekal di bahu jalan, tidak boleh berniaga di dalam petak parkir kerana ianya jelas menyalahi undang-undang sedia ada.

Justeru semua lesen penjaja statik dibekukan untuk proses bancian semula, pemutihan dan pengeluaran lesen-lesen baru kepada yang layak dan berhak. DBKL juga telah diarahkan mencari dan menyediakan lokasi baru kepada penjaja yang sesuai.

Semasa memberi lesen kepada Che Nah, Menteri menyebut dengan jelas bahawa Che Nah hendaklah mengaku janji mengikut undang-undang dan peraturan sedia ada. walau pun sudah ada lesen, peraturan dan undang-undang tidak boleh dilanggar. Peliknya semasa memberi lesen tersebut jelas Che Nah melanggar undang-undang dan peraturan.

Tulisan ini bukan untuk menyalahkan Che Nah dan melepaskan tanggungjawab tetapi kita bercakap tentang “hendaklah mengikut undang-undang dan peraturan”

Habis tu… adakah hendak biarkan sahaja Che Nah berniaga tiada lesen? Kenapa begitu lama Che Nah tidak diberikan lesen?

Selama 22 bulan kami mentadbir KWP termasuk DBKL, isu lesen penjaja dan nasib semua penjaja kita ambil perhatian dan tindakan.

Tapak-tapak pasar malam, bazar ramadhan, uptown yang sebelum ini dikawal oleh orang tengah yang mengambil untung atas angin, kami hapuskan secara berperingkat.

Malah kami juga diberikan akujanji oleh Datuk Bandar bahawa Jabatan Perlesenan dan Pembangunan Penjaja (JPPP) tidak hanya menunggu permohonan di pejabat sebaliknya akan turun padang untuk memudahkan permohonan dan pemberian lesen.

Sejak April 2019, kami perkenalkan Lesen Waktu Terhad kepada para penjaja berniaga di waktu sarapan pagi, makan tengahari dan petang.

Bagus dan tahniah kepada Che Nah kerana telah diluluskan dan diberikan lesen berniaga tetapi ianya akan menimbulkan masalah lain secara berangkai kepada pihak Jabatan Perlesenan dan juga Jabatan Penguatkuasa.

Selepas ini akan ramai lagi orang lain akan buka perniagaan di dalam lot parkir dan membuka meja di atas siarkaki. Jika mereka dikatakan melakukan kesalahan, bagaimana dengan Che Nah?

Jangan terkejut jika selepas ini lot-lot parkir di tepi jalan dipenuhi para peniaga berniaga pelbagai jenis termasuk jual buah-buahan, ikan segar, kuih muih dan sebagainya. Adakah ini yang dimahukan di Bandaraya Kuala Lumpur?

Bila ini semua berlaku, apa nak buat?

Zulhazmi Shariff
Bandar Tasik Selatan
Mantan Pegawai Tugas-Tugas Khas II kepada
Mantan Menteri Wilayah Persekutuan

Sumber :