Pihak yang cabar masih gagal buktikan Muhyiddin tiada majoriti – Hadi

Pihak yang cabar masih gagal buktikan Muhyiddin tiada majoriti – Hadi

Pihak yang mencabar keabsahan kerajaan Perikatan Nasional (PN) gagal membuktikan yang kerajaan pimpinan Perdana Menteri, Muhyiddin Yassin tidak mempunyai majoriti.

Presiden PAS, Abdul Hadi Awang, berkata sehingga hari ini pihak berkenaan masih gagal membuktikan perkara itu.

“Sehingga hari ini pihak yang mencabar (keabsahan) masih gagal. Sama ada undi peringkat dasar atau peringkat jawatan kuasa kita menang.

“Dalam demokrasi, walaupun menang satu undi, tetapi tetap boleh menjalankan tugas. Walaupun satu undi, tetap menang,” katanya dalam sesi dialog bersama media di ibu pejabat parti itu di Kuala Lumpur, hari ini.

Pada 14 Okt lalu, Speaker Dewan Rakyat Azhar Azizan Harun menafikan dakwaan bahawa perdana menteri menghalang usul undi tidak percaya terhadapnya.

Azhar berkata, berdasarkan rekod Dewan Rakyat sebelum ini, usul yang sama pernah dikemukakan dan tidak dihalang, namun tidak sempat dibahaskan disebabkan susun atur aturan mesyuarat.

Katanya, dakwaan yang menyatakan bahawa perdana menteri tidak membenarkan usul tidak percaya dibahaskan dengan cara menyenaraikan di penghujung senarai kertas Aturan Urusan Mesyuarat harian adalah tidak benar.

Pada 23 Nov, Veteran Umno Tengku Razaleigh Hamzah menghantar surat kepada ahli parlimen supaya menyokong usul undi tidak percaya terhadap perdana menteri.

Dalam pada itu, mengulas dakwaan bahawa Ketua Pembangkang Anwar Ibrahim memperoleh sokongan 10 ahli parlimen Umno bagi membentuk kerajaan, Hadi berkata, ia bukan perkara baru.

Katanya, Anwar pernah mendedahkan yang dia memiliki jumlah yang lebih besar.

“Ini bukan yang petama (dakwaan memiliki majoriti), kita perlu berita yang sebenarnya (sahih). Kita tak perlu terkapai-kapai

“Dulu bukan 10, (tapi) 120 (ahli Parlimen), kita tunggu berita sahih,” katanya.

Berita penuh : https://www.malaysiakini.com/news/555032