Pilih parti kami, pilih ‘PEJUANG’ – Tun M

Pilih parti kami, pilih ‘PEJUANG’ – Tun M

Selepas hampir seminggu Tun Dr Mahathir Mohamad mengumumkan penubuhan parti baharu tanpa nama rasmi, hari ini bekas Perdana Menteri itu memberitahu nama parti tersebut.

Parti baharu Dr Mahathir yang masih berlandaskan kepentingan Melayu itu akan dikenali sebagai “Pejuang”.

Ahli Parlimen Langkawi itu mendedahkan nama parti berkenaan dalam catatan di blog beliau dalam ungkapan menyerupai sajak.

Pada 7 Ogos lalu, Dr Mahathir mengumumkan penubuhan parti baharu yang tidak terikat atau menyokong Perikatan Nasional (PN) atau Pakatan Harapan (PH).

Jelasnya, parti tersebut akan mendukung dasar Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) yang dahulu, selain akan bertanding sebagai blok bebas dalam PRU akan datang.

Berikut catatan Dr Mahathir bertajuk, “Parti Baharu – Pejuang”:

Kita tubuh parti untuk selamatkan kita.
Parti kita dihijack untuk selamatkan musuh kita.
Demikian Bersatu.
Ditubuh untuk hapuskan Kleptokrat.
Sekarang beralih untuk selamat Kleptokrat.
Kerana apa?
Kerana jawatan dan wang.
Perjuangan asal dibelakangkan.
Perjuangan sekarang berasas kepada “apa aku dapat”.
Jalan mudah. Terima sahaja apa yang ditawar.
Jika ada sesuatu yang boleh hancur Melayu.
Mengutama apa aku dapat adalah cara hancur orang Melayu.
Kenapa?
Kerana mengutama apa aku dapat, membelakangkan kepentingan Melayu.
Lihat peristiwa jual tanah.
Ya. Jual tanah dapat duit.
Duit habis, tanah sudah tergadai.
Apa yang tinggal pada penjual. Nothing.
Lihat Melayu negara jiran.
Melayu lagikah negara mereka?
Jual tanah sama dengan jual hak.
Lama-kelamaan jual negara.
Tidak ada hak lagi.
Maka hancurlah Melayu.
Siapa yang salah?
Orang lainkah?
Pilihlah.
Parti kami ditubuh kerana kesedaran.
Rasuah menghancur bangsa.
Rasuah yang hancur orang Melayu.
Jika ingin dapat jawatan dan wang.
Pilih parti lain.
Jika ingin tebus maruah.
Jika ingin kekal hak kita.
Pilih parti kami.
Pilih PEJUANG.

Berita penuh : https://malaysiadateline.com/pejuang-nama-parti-baharu-dr-mahathir/