Satu rakaman tular menunjukkan juruterbang mengawal pesawat Firefly Airlines semasa pendaratan
di Lapangan Terbang Antarabangsa Langkawi (LTAL) ketika ribut dan angin kencang melanda pada petang tadi.
Video yang dimuat naik di laman Facebook Langkawi Kini ini meraih pujian ramai apabila
juruterbang tersebut menggunakan teknik crosswind landing untuk mengatasi situasi mencabar itu.
Dalam klip berdurasi 29 saat, pesawat itu kelihatan terbang dalam keadaan ‘menyenget’ sebelum berjaya
mendarat di lapangan terbang berkenaan. Keadaan cuaca yang tidak baik dan angin yang kencang turut menyukarkan pendaratan.
Walaupun dalam cuaca yang tidak menentu, juruterbang itu berjaya mendarat dengan lancar.
“Kejadian di Langkawi semasa ribut tadi. Padu betul juruterbang Firefly Airlines, jarang-jarang dapat tengok. Agak-agak macam mana perasaan penumpang dalam tu ya? Steady dan tahniah kapten, mendarat 10/10, Alhamdulillah,” tulis kapsyen video tersebut.
Di ruangan komen, ramai pengguna memuji kapten pesawat yang cemerlang dalam mengemudikan pesawat tersebut. Sesetengah mereka juga menzahirkan rasa syukur kerana pendaratan tersebut dilakukan dengan selamat.
Berikut antara komen pengguna:
“Allah SWT yang mempermudahkan segala-galanya. Allah berikan juruterbang itu kemahiran untuk mengawal kapal dari pengalamannya selama ini. Apapun, terbaik juruterbang, Alhamdulillah,” tulis seorang pengguna.
“Juruterbang Malaysia yang terbaik!” komen seorang lagi.
“Hebat juruterbangnya. Terbaik. Pernah rasa dekat Sarawak baru-baru ini. Nak turun semasa ribut pun sudah takut,” tulis seorang lagi.
“Uish, menyenget. Seram,” komen seorang pengguna.
“Padu juruterbang, keputusan antara nak mendarat atau go around dalam masa beberapa saat yang sangat genting. Fuh,” puji pengguna lain.
BACA: Betul ke Nabi Khidir masih hidup? Ini penjelasan bekas Menteri Agama