Pindaan terhadap Enakmen Pentadbiran Agama Islam (Negeri Selangor) akan dibincang semula dengan teliti terutama yang melibatkan perkara dan penafsiran Perlembagaan Persekutuan.
Menteri Besar Selangor, Amirudin Shari berkata pada masa ini Sultan Selangor, Sultan Sharafuddin Idris Shah juga sedang meneliti kembali pembentangan kertas tersebut.
“Pihak kerajaan negeri akan membuat perundingan sepenuhnya dengan semua pihak dan pemimpin terlibat terlebih dahulu dan kemudian merujuk semula kepada Sultan Selangor.
“Bagi saya ada baiknya perkara ini tidak dibawa hari itu bagi memberi ruang untuk kita bincang dengan lebih terperinci terhadap persoalan ini dan selepas itu barulah saya akan tuntaskan kepada Sultan Selangor,” katanya kepada pemberita selepas Majlis Sambutan Hari Raya Aidiladha di Kediaman Rasmi Menteri Besar Selangor hari ini.
Amirudin bagaimanapun enggan mengulas sama ada ia akan dibentang pada sesi Dewan Undangan Negeri (DUN) akan datang atau tidak.
Pindaan terhadap enakmen berkenaan menjadi isu apabila usul tersebut dipercayai tidak dapat dibentangkan pada persidangan DUN baru-baru ini selepas ditangguhkan speaker dewan, Ng Suee Lim sejurus dua hari bersidang.
Ditanya mengapa pindaan berkenaan perlu dilakukan, Amirudin berkata ia melibatkan beberapa pertimbangan dan perancangan dari pihak berkuasa agama Islam negeri.
“Terdapat keperluan untuk melakukan pindaan terhadap enakmen ini pada tahun-tahun sebelum ini tetapi ia terletak kepada pertimbangan pihak berkuasa agama Islam negeri dan apabila sudah dibuat keputusan baru kita fikir langkah seterusnya,” kata beliau.
BERNAMA