PKP bagus untuk alam sekitar, dakwa menteri

PKP bagus untuk alam sekitar, dakwa menteri

Penguatkuasaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) fasa pertama pada 18 Mac lalu hingga semalam bukan sahaja dapat memutuskan rantaian COVID-19, malah dapat mengurangkan pencemaran alam sekitar, menurut Menteri Alam Sekitar, Datuk Tuan Ibrahim Tuan Man.

Ini ekoran pengurangan aktiviti seperti pelepasan asap kenderaan, asap cerobong industri dan pembakaran terbuka, katanya.

Beliau berkata satu analisis terperinci oleh Jabatan Alam Sekitar (JAS) ke atas beberapa parameter utama iaitu Nitrogen Dioksida (NO2 ), Sulfur Dioksida (SO2), Karbon Monoksida (CO) dan habuk halus bersaiz diameter 2.5 mikron (PM2.5) mencatatkan penurunan ketara.

Tuan Ibrahim berkata, pemerhatian telah dilakukan di beberapa stesen pengawasan kualiti udara di Lembah Klang iaitu di Batu Muda dan Cheras (Kuala Lumpur) serta Wilayah Persekutuan Putrajaya.

“Ketiga-tiga kawasan itu mencatatkan penurunan yang signifikan iaitu penurunan 55 hingga 68 peratus bagi NO2; 17 hingga 34 peratus bagi SO2; enam hingga 15 peratus bagi CO; dan enam hingga 14 peratus bagi PM2.5,” katanya dalam satu kenyataan pada Selasa.

Tuan Ibrahim berkata, selain itu, JAS turut meluaskan analisis di stesen pengawasan kualiti udara di beberapa bandar utama seperti Shah Alam, Ipoh, Pulau Pinang, Kuantan, Seremban, Melaka, Johor Bahru, Kuching dan Kota Kinabalu bagi tempoh yang sama.

“Dapatan juga menunjukkan berlaku penurunan ketara untuk setiap parameter iaitu NO2 antara 11 hingga 62 peratus, SO2 antara lima hingga 22 peratus, CO antara dua hingga 25 peratus dan PM2.5 antara dua hingga 23 peratus,” katanya.

Bacaan Indeks Pencemaran Udara (IPU) terkini setiap jam boleh dirujuk di laman web JAS di pautan http://apims.doe.gov.my/v2/ atau dengan memuat turun aplikasi telefon pintar rasmi MyIPU di Android ‘Google Play’ dan di Apple ‘App Store’.

Tuan Ibrahim turut menasihati rakyat supaya tidak melakukan pembakaran terbuka untuk mengurangkan risiko cuaca panas dan kering buat masa ini.

Kerjasama orang ramai juga diminta melaporkan kes-kes pembakaran terbuka atau kebakaran kepada Jabatan Bomba dan Penyelamat di talian 999 dan JAS di talian bebas tol 1-800-88-2727.

Sumber : http://www.astroawani.com/berita-malaysia/pkp-fasa-pertama-kurangkan-pencemaran-alam-sekitar-tuan-ibrahim-236163