PKP gagal kerana K’jaan PN gagal tangani percanggahan objektif antara KKM dengan MITI

PKP gagal kerana K’jaan PN gagal tangani percanggahan objektif antara KKM dengan MITI

Percanggahan keperluan antara Kementerian Perdagangan Antarabangsa dan Industri (MITI) dan Kementerian Kesihatan (KKM) jelas memperlihatkan kelemahan Putrajaya dalam mengambil tindakan serius bagi membendung penularan Covid-19.

Bekas timbalan menteri pengangkutan Ab Aziz Kaprawi berkata, percanggahan dua kementerian itu secara tidak langsung dilihat memperjudikan nyawa dan kesihatan rakyat.

“Persepsi ini dilihat semakin negatif apabila terdapat sebahagian besar rakyat merasakan niat sebenar perintah kawalan pergerakan (PKP) 2.0 ini diadakan sudah terpesong.

“Serta mempunyai kepentingan politik demi mendapat perkenan Yang di-Pertuan Agong mengisytiharkan darurat. Sudahlah ekonomi rakyat terjejas, tetapi kadar jangkitan pula tidak menurun,” katanya di Facebook.

Sehingga 26 Jan, Ketua Pengarah Kesihatan Dr Noor Hisham Abdullah melaporkan masih terdapat 40,574 kes aktif dengan 111 daripada 280 pesakit di unit rawatan rapi memerlukan bantuan pernafasan.

Manakala, sebanyak 3,585 kes baru Covid-19 dilaporkan dengan 11 kematian, menjadikan jumlah keseluruhan kematian seramai 700 orang daripada 190,434 kes Covid-19 setakat ini.

Aziz berkata, beliau secara peribadi tidak peduli apakah niat sebenar Putrajaya melaksanakan PKP2.0, namun apa yang penting adalah melihat Malaysia menang dalam peperangan melawan Covid-19.

“Saya percaya rakyat dan petugas barisan hadapan berkongsi satu perasaan yang sama iaitu ‘kita sedang kalah’,” katanya.

Menurutnya, ketika ini selepas 14 hari tempoh pelaksanaan PKP2.0, kes jangkitan Covid-19 tidak berkurangan malah dikhabarkan bahawa Dr Noor Hisham menyatakan Putrajaya tidak berhasrat menyambung perintah ini selepas 4 Feb.

“Ini bermaksud PKP 2.0 yang bermula pada 13 Jan lepas tidak membawa apa-apa erti malah boleh dikatakan sebagai tindakan sia-sia kerana dua hasrat yang dinyatakan tersebut gagal untuk dicapai,” katanya.

Media sebelum ini melaporkan, Noor Hisham berkata PKP di seluruh negara, kecuali Sarawak yang dijadual berakhir pada 4 Feb, tidak akan dilanjutkan. Katanya, keputusan itu diambil bagi mengelak kesan negatif terhadap ekonomi negara.

Noor Hisham berkata, PKP yang dijadual berakhir pada 4 Feb akan disambung dengan pelaksanaan perintah kawalan pergerakan bersyarat (PKPB). Malah, beliau turut berpandangan kepentingan ekonomi dan kesihatan perlu diseimbangkan. – FMT