PKP kali ini sudah jadi antara dua darjat, kata pemimpin Umno

PKP kali ini sudah jadi antara dua darjat, kata pemimpin Umno

Pemimpin UMNO mengkritik kelonggaran diberikan terhadap menteri yang kembali daripada tugas rasmi di luar negara apabila hanya perlu menjalani kuarantin selama tiga hari.

Ahli Majlis Tertinggi UMNO, Datuk Dr Mohd Puad Zarkashi mengkritik arahan baharu itu dan menyifatkan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) dilaksanakan kerajaan kini sudah seperti undang-undang ‘antara dua darjat’.

“Tiba-tiba sahaja Menteri Kesihatan keluar surat. Semua menteri balik bertugas dari luar negara tidak perlu kuarantin 10 hari. Mereka terkecuali daripada Seksyen 15 Akta 342.

“Benarkah berlaku kekecohan di Lapangan Terbang Subang. Pegawai Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) sudah menunggu untuk urusan kuarantin bila rombongan Perdana Menteri (Tan Sri Muhyiddin Yassin) sampai dari Jakarta. Katanya mereka tidak mahu kuarantin 10 hari? Rakyat perlu penjelasan.

“Itu sebab Menteri Kesihatan keluar surat arahan baharu melalui Warta Persekutuan. Kuarantin cuma tiga hari. Arahan Ketua Pengarah Kesihatan di bawah Akta 342 kena ‘over rule’,” katanya Facebooknya pada Selasa.

‘Menteri kuarantin 3 hari, rakyat kuarantin 10 hari’

Pada Isnin, Menteri Kesihatan, Datuk Seri Dr Adham Baba mengeluarkan perintah yang melonggarkan peraturan kuarantin kepada rakan-rakan anggota kabinet yang melakukan perjalanan rasmi ke luar negara.

Perintah tersebut pada dasarnya mengurangkan tempoh kuarantin menteri daripada 10 kepada hanya tiga hari.

Perintah itu dinamakan ‘Pencegahan dan Pengawalan Penyakit Berjangkit (Pengecualian) 2021’ diterbitkan Warta Persekutuan yang ditandatangani Adham dan berkuat kuasa pada Rabu.

Mohd Puad kemudiannya membidas arahan terbaru itu dan berkata, sekiranya tidak mahu dikuarantin, apa perlunya keluar negara.

“Kalau setakat mahu bincang laluan hijau, elok guna sidang maya sahaja. PKP sudah jadi antara dua darjat,” katanya.

Berita Penuh : https://www.sinarharian.com.my/article/123094/BERITA/Nasional/PKP-sudah-jadi-antara-dua-darjat