PKP : Peniaga pasar Siti Khadijah rayu pengecualian bayaran sewa

PKP : Peniaga pasar Siti Khadijah rayu pengecualian bayaran sewa

Lebih 400 peniaga terutama yang menjual pakaian di Pasar Siti Khadijah di sini merayu kerajaan negeri supaya mempertimbangkan pengecualian bayaran sewa kedai bagi meringankan bebanan mereka susulan terjejas akibat penularan pandemik Covid-19.

Bukan hanya berdepan risiko hutang sewa kedai, malah ada di antara mereka yang terpaksa menanggung hutang dengan pembekal barangan terutama melibatkan peniaga pakaian di tingkat dua pasar tersebut.

Pengerusi Persatuan Peniaga Bumiputera Pasar Siti Khadijah, Ahmad Nazri Che Omar berkata, lebih 200 peniaga pakaian di tingkat dua pasar itu terpaksa mengikat perut memandangkan mereka hilang punca pendapatan sejak setahun yang lalu.

“Rata-rata kami ini semuanya bergantung harap pada jualan di pasar. Kami tiada kerja lain. Bila kedai tutup, kami tidak mampu untuk bayar sewa.

“Kami berharap pihak Majlis Perbandaran Kota Bharu- Bandaraya Islam (MPKB-BRI) dapat pertimbangkan pengecualian bayaran sewa selama tiga bulan. Paling kurang berilah kami potongan diskaun untuk sewa bulanan selama enam bulan.

Ruangan kedai menjual pakaian yang kosong selepas diarahkan tutup sejak minggu lalu.
“Kami boleh diibaratkan ‘bernafas dalam lumpur’, terpaksa juga hadapi demi keselamatan semua pihak. Kami patuh pada arahan kerajaan tapi pada masa sama kerajaan pandanglah masalah kami ini,” katanya kepada pemberita selepas membuat pemeriksaan di tingkat dua Pasar Siti Khadijah pada Isnin.

Mengulas lanjut, Ahmad Nazri berkata, 200 peniaga lain yang berada di tingkat satu juga berdepan situasi getir apabila mereka juga hilang hampir 95 peratus pelanggan walaupun dibenarkan beroperasi dalam tempoh Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) ketika ini.

Rata-rata peniaga di tingkat satu adalah mereka yang menjual makanan tradisional Kelantan seperti keropok, dodol dan sebagainya.

Sementara itu, peniaga pakaian, Fatin Syahirah Yusri, 24 tahun berkongsi, sejak penularan pandemik Covid-19, dia dan ibu bapanya tidak lagi rancak berniaga seperti dulu.

Walaupun tidak beroperasi, namun keselamatan dan kebersihan kedai-kedai tersebut tetap dijaga pihak yang bertanggungjawab.
Katanya, sebelum ini, mereka bergantung sepenuhnya kepada kedatangan pelancong dari luar negeri termasuk beberapa pelanggan tetap yang sentiasa memberi sokongan.

Bagaimanapun, sejak setahun yang lalu, perniagaan yang dijalankan kedua ibu bapanya sejak 20 tahun lalu itu bagaikan hilang seri dan tidak lagi mampu untuk menampung kehidupan mereka sekeluarga.

“Saya cuba juga jual secara dalam talian, namun saya akui pasaran agak mencabar dan banyak saingan yang ada. Kebanyakan pelanggan pun lebih suka beli dan tengok secara berdepan terutama pakaian yang kami jual.

“Kami pun berdepan lambakan apabila barangan tidak dapat dijual sebab pakaian ada trend tersendiri mengikut peredaran masa,” katanya. –SH