PKR Perak sudi kerjasama dengan semua parti untuk tubuh kerajaan negeri

PKR Perak sudi kerjasama dengan semua parti untuk tubuh kerajaan negeri

PKR Perak sedia bekerjasama dengan semua pihak untuk menyegerakan penubuhan kerajaan negeri baru dan akan memberi sokongan kepada kerajaan yang mengutamakan semangat kesepakatan.

Pengerusinya, Farhash Wafa Salvador Rizal Mubarak menggesa semua parti supaya lebih matang dan bersikap terbuka untuk menyelesaikan kemelut politik di Perak.

Katanya, pemimpin tidak patut mengabaikan tanggungjawab mereka hanya kerana tidak bersefahaman.

“Negara kita memerlukan pemahaman lanskap politik baru yang dapat menyatukan semua kaum dalam menempuh cabaran dunia pasca Covid-19 secara muafakat.

“PKR Perak menjemput semua ahli politik mengutamakan perpaduan demi kesejahteraan rakyat. Sebarang usaha perdamaian amat penting pada masa ini agar kepentingan rakyat tidak terabai,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Petang tadi, Ahli Dewan Negara Perak, Mohd Annuar Zaini dilaporkan berkata, Sultan Nazrin Shah belum diyakinkan mana-mana parti politik mempunyai majoriti mudah bagi membentuk kerajaan negeri baru.

Katanya, pihak istana dimaklumkan UMNO Perak yang “perundingan sedang berlaku antara pelbagai pihak”.

Terdahulu, Presiden UMNO, Ahmad Zahid Hamidi dilaporkan berkata, calon parti itu mempunyai sokongan majoriti ADUN dan kerajaan Perikatan Nasional yang bakal ditubuhkan akan melibatkan parti itu, PAS dan PPBM.

Bagaimanapun, PAS mencetuskan spekulasi baru mengenai penubuhan kerajaan negeri ditunjangi UMNO, apabila tiga ADUN parti itu diarahkan PAS Pusat untuk membatalkan menghadap Sultan Nazrin. Tiada sebab diberikan.

Setiausaha Agung PAS, Takiyuddin Hassan sebelum itu berkata, parti itu tidak akan terlibat dalam penubuhan kerajaan baru selepas Ahmad Faizal Azumu disingkirkan akibat gagal meraih sokongan majoriti dalam usul undi percaya terhadap menteri besar di Dewan Undangan Negeri (DUN) apabila hanya mendapat 10 undi, dengan 48 menolak manakala satu berkecuali.

DUN Perak terdiri daripada 25 ADUN Barisan Nasional yang semuanya UMNO, DAP (16), PPBM (5), Amanah (5), PKR (3), PAS (3) dan masing-masing satu daripada Gerakan dan bebas.

Berita penuh : https://www.freemalaysiatoday.com/category/bahasa/tempatan/2020/12/08/pkr-perak-gesa-semua-parti-bersikap-terbuka-segerakan-tubuh-kerajaan-negeri/