PM minta rakyat waspada isu perkauman yang dimanipulasi ahli politik

PM minta rakyat waspada isu perkauman yang dimanipulasi ahli politik

Rakyat diingatkan agar berwaspada terhadap manipulasi sentimen kaum oleh ahli politik.

Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin berkata, perkara itu merupakan cabaran utama dalam hampir semua negara yang memiliki rakyat berbilang kaum.

“Pelaku politik yang cuba menaikkan saham politik masing-masing melalui eksploitasi perasaan kaum hendaklah kita elakkan,” katanya dalam ucapan sempena pelancaran Dasar Perpaduan Negara pada Isnin.

Menurutnya, rakyat negara ini tidak akan sesekali mengorbankan kesepaduan sosial dan perpaduan negara yang telah dikecapi demi matlamat peribadi.

“Kerajaan juga tidak akan sesekali berkompromi dalam perkara yang boleh mengganggu-gugat perpaduan negara,” katanya.

Beliau berkata, berpegang kepada prinsip tersebut Kementerian Perpaduan Negara telah diwujudkan di bawah pemerintahannya.

“Di bawah kepimpinan Menteri Datuk Datuk Halimah Mohamed Sadique dan Timbalannya Senator Datuk Sri Ti Lian Ker, kementerian ini menggalas tugas berat memastikan agenda perpaduan nasional dapat dijayakan,” katanya.

Muhyiddin berkata, sejak mula ditubuhkan, Kementerian Perpaduan Negara terus bekerja keras bagi memperkukuh perpaduan.

“Hasilnya ialah sebuah Dasar Perpaduan Negara yang bersifat inklusif, jelas dan kohesif yang saya lancarkan pada hari ini (Isnin),” katanya

Tambahnya, dalam krisis Covid-19, rakyat Malaysia khususnya petugas di barisan hadapan telah membuktikan sifat empati terhadap satu sama lain tanpa mengira kaum atau agama.

“Sifat empati ini harus diperkukuhkan dalam masyarakat kita sekali gus membantu usaha kerajaan mengatasi cabaran perkauman dengan lebih berkesan,” katanya.

Menurutnya, sifat empati juga harus disuburkan di saat memahami isi-isu kaum dari perspektif yang lebih seimbang dan menyeluruh.

“Seperti beberapa negara-negara berbilang kaum yang lain, kadang kala kita hanya melihat isu kaum dari sudut kaum atau kumpulan tertentu.

“Perspektif ini perlu diperbaiki supaya menjadi lebih seimbang dan holistik serta harus dipupuk melalui sistem pendidikan dan media,” katanya.

Majlis yang diadakan secara maya itu dilancarkan secara langsung menerusi Facebook Kementerian Perpaduan Negara.

Berita Penuh : https://www.sinarharian.com.my/article/123908/BERITA/Nasional/Waspada-manipulasi-sentimen-kaum-oleh-ahli-politik-PM