PN gagal bersikap telus, hadapi krisis kepercayaan dalam kendalikan krisis Covid-19

PN gagal bersikap telus, hadapi krisis kepercayaan dalam kendalikan krisis Covid-19

Suasana krisis adalah situasi yang melanda sesebuah negara berpotensi menjejaskan kehidupan dan aktiviti masyarakat dari sudut keselamatan mereka. Dalam kes covid 19, ia menjadi pandemik global secara resmi pada 11 March dan telah tersebar luas dan setiap kerajaan dunia dan rakyat perlu menanganinya sebagai darurat krisis kesihatan awam mengancam keselamatan nyawa penduduk dunia.

Impak ekonomi kepada dunia dan Malaysia secara khusus telah meninggalkan bekas yang mendalam kepada sektor swasta khususnya kerana pembuangan kerja tidak dapat dielakkan lagi. Berbagai syarikat yang beroperasi terpaksa menampung kerugian dan hampir 8 juta pekerja swasta di negara ini terjejas teruk.

Peranan kerajaan menjadi sangat penting pada masa krisis, kerajaan Malaysia telah memperuntukkan sekitar RM 20 bilion secara terus untuk membantu rakyat yang terjejas dengan mengambil kira keperluan kecairan (liquidity) dan keperluan ekonomi perlu digerakkan semula. Kerajaan kini berada pada posisi tertekan kerana sumber kewangan yang terhad dan pada waktu yang sama terpaksa suntik kos yang tinggi dalam usaha pemulihan ekonomi yang terjejas teruk.

Dalam mengendalikan suasana ini keberkesanan kerajaan menyampaikan RM20 bilion kepada sasaran diikuti dengan penuh berhati-hati. Soal INTEGRITI akan jadi tumpuan dan kita dikejutkan dengan siastan SPRM ke atas Kementerian Kesihatan Malaysia dalam skandal 30 juta peruntukan untuk menangani covid 19. INTEGRITI yang dipertikaikan semasa krisis boleh menjejaskan kepercayaan rakyat terhadap kerajaan dan usaha memulihkan keadaan ekonomi negara.

Kerajaan juga akan dipertikaikan sejauhmana KADAR KEPANTASAN bertindak. Kerajaan- kerajaan di Amerika, dan Eropah yang mengamalkan keterbukaan dikritik teruk oleh rakyatnya atas alasan LAMBAT BERTINDAK.

Sebagai rekod, semasa tercetus covid di Wuhan, Kerajaan PH masih memerintah dan telah pun membuat langkah menangani keadaan dari Dis. sehingga pertengahan Februari. Malangnya ‘Langkah Sheraton’ pada 23 Feb 2020 menyebabkan negara hilang tumpuan kepada peningkatan kes-kes pada gelombang pertama. Pada 1 Mac Perdana Menteri baru Tan Sri Mahyudin Yasin angkat sumpah sebagai PM baru dengan meninggalkan kesan mendalam kepada politik nasional iaitu sebuah kerajaan tanpa mandat rakyat! Label kerajaan tanpa mandat rakyat menyukarkan pembentukan solidariti dan konsensus semasa krisis. Rakyat yang sepatutnya menumpukan perhatian kepada krisis diheret dengan isu politik hasil daripada rasa tidak puas hati pihak penyokong masing-masing.

KETELUSAN kerajaan Perikatan Nasional terus dipertikai kerana keengganan kerajaan memanggil sidang parlimen tergempar lebih awal untuk membahaskan pakej rangsangan. Hanya pada 18 Mei nanti satu sidang selama satu hari sahaja diadakan atas sebab keperluan perundangan bukan kerana desakan krisis. Kerajaan PN telah melanggar satu amalan biasa demokrasi, iaitu memanggil sidang tergempar semasa krisis. Keputusan dasar besar semasa krisis tidak boleh diputuskan oleh pihak eksekutif semata-mata, ia memerlukan konsensus untuk membuktikan SOLIDARITI menghadapi krisis, malangnya peluang ini disiakan oleh kerajaan PN.

Tindakan ini membentuk persepsi awal sikap tidak menghormati instituisi parlimen yang merupakan tempat utama keputusan besar negara dibuat bagi membincangkan keadaan gawat dunia dan negara. Seluruh negara sedia maklum bahawa kemunculan kerajaan PN adalah hasil beberapa usaha dari dalam kerajaan PH dahulu (fraksi PKR dan PPBM) untuk berunding cara sulit dengan parti komponen luar PH seperti Umno, PAS dan GPS untuk menjatuhkan sebuah kerajaan yang mendapat mandat rakyat.

Dalam suasana krisis KEPERCAYAAN kepada kerajaan sangat penting dan kerajaan PN telah hilang satu syarat penting ini dalam mengendalikan krisis kerana dihambat label kerajaan tanpa mandat rakyat.

Kejayaan mengendalikan krisis turut ditentukan sejauhmana kerajaan memberi FOKUS sepenuhnya kepada masalah yang dihadapi, FOKUS akan menghasilkan keputusan-keputusan yang mengambil kira semua aspek untuk mengurangkan risiko. Malangnya, tumpuan menyelesaikan masalah terganggu apabila kerajaan PN lebih tertumpu untuk membahagi ‘habuan’ posisi dalam kerajaan. Perdana Menteri pula tertekan desakan rakan-rakan komponen PN dan ini terbukti dengan saiz kabinetnya yang besar. Apakah kerajaan yang terbentuk semasa krisis memerlukan 70 orang anggota kabinet?

Kepantasan masa untuk bertindak memberi kesan kepada cara krisis diuruskan. Antara kejayaan Germany berbanding dengan Amerika ialah kadar kepantasan keputusan dibuat dan kadar penyampaian pakej selamatkan ekonomi diagihkan. Termasuk kadar kepantasan ialah PENYELARASAN yang baik antara kuasa persekutuan dan negeri-negeri untuk menjayakan keputusan-keputusan penting negara.

Keputusan membuka ekonomi 4 Mei adalah contoh PENYELARASAN yang lemah kerana walaupun kerajaan persekutuan mengarahkan aktiviti ekonomi dibuka melalui seluruh negara, enam negeri enggan patuhi seperti Sabah, Sarawak, Pulau Pinang, Kedah, Pahang dan Kelantan. Malah Menteri Kanan DS Azmin Ali mengeluarkan kenyataan dalam nada mengugut negeri-negeri agar menghormati keputusan peringkat persekutuan.

Insiden politik nasional semasa kemuncak covid 19 melanda negara adalah episod yang semua rakyat terpaksa telan dengan kepahitan. Kita diuji antara meneruskan rasa tidak puas hati sebahagian kita terhadap apa yang berlaku pada politik negara ataupun menyelesaikan bersama krisis pandemik yang punya kepentingan nasional yang lebih besar.

Negara perlu bangkit dengan seluruh rakyat berganding bahu membina DAYA KETAHANAN NEGARA. Ini bukan bermakna tidak ada perbezaan politik tetapi titik kesatuan adalah berpaksikan keutamaan kepentingan negara dan membina KONSENSUS melalui perdebatan sehat dan telus.

DAYA KETAHANAN NEGARA ditakrifkan dengan makna daya kekuatan rakyat dan kekebalannya untuk berhadapan dengan krisis serta kadar kepantasan negara mampu bangkit kembali setelah berlalunya krisis. Dalam konteks Malaysia, Ketahanan Negara bergantung kepada dua paksi yang selama ini membentuk polisi pembangunan negara, iaitu pertumbuhan ekonomi dan perpaduan nasional.

Buat masa ini semua rakyat perlu bekerjasama untuk menentang pihak yang punya kepentingan diri dan mengambil kesempatan untuk memenuhi agenda kelompok dan kumpulan masing-masing. GOLONGAN OPPORTUNIS semasa krisis adalah mereka yang masih diheret dengan menyebarkan kebencian kelompok, kebencian kaum dan kebencian agama sesama rakyat. Mereka gagal memahami konsep kerakyatan yang melihat berbagai bangsa dan etnik di Malaysia sebagai warganegara dan rakyat yang cintakan negara. Mereka menggunakan agama dan bangsa untuk mewajarkan kebencian mereka kepada kaum lain dan agama lain untuk tujuan kuasa dan kepentingan diri.

Rakyat harus bersatu dalam membina ketahanan negara dengan menentang perasuah-perasuah yang penting diri kerana terdorong atas kepentingan wang di atas penderitaan rakyat. Sejauh mana solidariti kita menentang mereka akan menentukan kejayaan rakyat Malaysia melalui krisis pandemik ini. Ini bukan masanya kita mempertahankan kelompok kita tetapi inilah masanya kita mempertahankan kepentingan negara bersama. Politik ini adalah asas kepada membentuk perpaduan nasional melalui budaya memupuk konsensus kepada perkara-perkara prinsip yang menjayakan integriti sebuah negara.

Saya yakin dalam masa krisis ini rakyat Malaysia punya daya ketahanan yang tinggi bagi membantu negara kita bangkit semula dan opitimis Malaysia akan menjadi lebih kuat dari sebelumnya dengan solidariti yang telah kita pupuk semasa krisis. Saya yakin kepada prinsip dalam mengendalikan krisis iatu dalam setiap krisis ada peluang dan peluang terbaik yang kita ada hari ini ialah membina bersama daya ketahanan nasional kita. #Malaysiabangkit #Dayaketahanan #Bangkitbersama

DS Dr Mujahid Yusof Rawa
Naib Presiden AMANAH
Ahli Parlimen Parit Buntar

Sumber: