PN makin goyah, kepentingan rakyat terus terabai

PN makin goyah, kepentingan rakyat terus terabai

Kalau Tan Sri Muhyiddin Yassin mendapat cukup bilangan sokongan ahli Dewan Rakyat, hanya berdasarkan kedudukan kerusi di Parlimen atau bukti Akuan Berkanun (SD), isu kerajaan pintu belakang masih belum selesai.

Terbukti semalam, ada wakil rakyat yang duduk sebelah blok penyokong kerajaan, rupa-rupanya pembangkang. Lagi pula, anggaran sokongan cukup tipis, tidak lebih 113, majoriti dua undi!

Dan kalau berlaku pengundian, belum tentu lagi sokongan “cukup makan” itu dapat bertahan. Mungkin ahli-ahli Parlimen Umno pun ada yang menolak Muhyiddin serta memihak Mahathir atau Anwar dalam diam. Apa lagi ahli Parlimen Bersatu (asal) yang sudah terkesan dengan sikap sombong Umno dan mahu kembali sebagai parti dominan kerajaan.

Kalau usul undi tidak percaya kepada perdana menteri akhirnya dapat dibentang di Parlimen juga, dan kemudian ditolak kerana penyokong Muhyiddin lebih ramai, maka isu pengkhianatan-pembelotan dan pencabulan mandat rakyat juga masih belum selesai.

Isu terpenting bukan “cukup bilang” atau tidak, ia menyangkut persoalan dasar, kerajaan ini hasil rampasan kuasa. Tapi kudeta yang sah di sisi undang-undang atau Perlembagaan.

Dijangka menghampiri sidang Parlimen akan datang, episod sarat dengan sogokan dan tawar-menawar menjadi lebih rancak lagi. Malangnya, kepentingan rakyat dan negara akan terus terabai. Pandemik Covid-19 hanya menjadi perisai membentengi kerajaan yang rapuh ini.

Sehingga kini, tiada sebarang pakej rangsangan ekonomi atau pelan menghadapi wabak maut ini yang dibahaskan secara menyeluruh di Parlimen. Impak dahsyat koronavirus ini masih belum dihalusi secara tuntas.

Apatah lagi apabila kerajaan tebuk atap ini masih tidak dapat melalui proses semak- imbang di Dewan Rakyat, lagilah keabsahannya akan terus dipertikai. Muhyiddin terus disibukkan untuk membeli sokongan dengan mengagih-agihkan habuan dan ghanimah; tiada lagi usaha pembaharuan atau pemulihan tanah air tercinta, juga penggubalan polisi awam atau pelaksanaan program bagi menyelesaikan kemelut rakyat.

Agenda reformasi Pakatan Harapan (PH) dahulu telah terbantut dan kemungkinan besar terbaral. Muhyiddin sentiasa dibelenggu rasa curiga, syak wasangka, tidak yakin diri, dan takut pada bayang-bayang sendiri.

Lagipun kerajaan ini tidak tidak berdiri atas apa-apa manifesto atau iltizam politik, hanya komplot jahat elit politik berkepentingan dan persefahaman sementara yang goyah.

Selepas dua bulan merampas kuasa rakyat, selepas ahli-ahli Parlimen (yang tidak dapat masuk Kabinet lagi atau sudah penuh kuota timbalan menteri) diserahkan jawatan pengerusi-pengerusi syarikat berkaitan kerajaan (GLC) dan diwujudkan duta-duta khas bertaraf menteri, amat mengejutkan sokongan terhadap Muhyiddin tidak juga meningkat.

Kita masih tertanya-tanya siapa sebenarnya yang mengisi senarai wakil rakyat yang menyokong Muhyiddin, yang diserahkan kepada Agong akhir Februari lalu.

Apakah ini petanda konflik politik mungkin berpanjangan, yang hanya dapat dirungkai dengan pembubaran Parlimen dan pilihan raya umum mengejut. Lagi pun, Umno dan sekutu rapatnya, Pas, sudah lama yakin mereka akan menang besar dalam PRU-15.

Malah, semasa baginda Agong berjumpa kali pertama dengan wakil-wakil rakyat sejurus perdana menteri meletakkan jawatan akhir Februari lalu, kedua-dua parti Muafakat Nasional itu tidak mencadangkan sebarang nama calon PM, mereka mengusulkan Parlimen dibubarkan. Justeru, kemungkinan PRU-15 diawalkan tidak boleh ditolak.

Di samping mengukuhkan pengaruh parti masing-masing dan membersihkan daripada potensi pengkhianatan berulang, kerjasama politik sesama pembangkang harus dimurnikan.

Hubungan dua personaliti utama, Mahathir-Anwar mesti dijernihkan. Khususnya penyokong tegar ataupun penasihat mereka berdua, harus berjiwa lapang, dan mengambil iktibar daripada keruntuhan kerajaan PH. Masalah komunikasi yang meruncing itu nampaknya masih belum diuruskan dengan tuntas.

sumber :