PN perguna nasihat Agong sebagai ‘cek kosong” raih keuntungan politik – MP Pejuang

PN perguna nasihat Agong sebagai ‘cek kosong” raih keuntungan politik – MP Pejuang

Empat ahli parlimen bebas dari parti Parti Pejuang Tanah Air (Pejuang) yang belum diluluskan Pendaftar Pertubuhan ROS telah menggesa pindaan terhadap Rang Undang-Undang Perbekalan (Belanjawan) 2021 yang dibentangkan di parlimen Jumaat lalu.

MP Pejuang berkenaan diterajui oleh bekas perdana menteri Dr Mahathir Mohamad dan tiga bekas pemimpin Bersatu, Ahli Parlimen Jerlun Mukhriz Mahathir, Ahli Parlimen Kubang Pasu Amiruddin Hamzah dan Ahli Parlimen Sri Gading Shahruddin Salleh.

Menurut mereka, kerajaan PN menggunakan nasihat Yang di-Pertuan Agong Sultan Abdullah Sultan Ahmad Shah untuk sokongan dwiparti sebagai “cek kosong” (blank cheque) untuk meraih “keuntungan politik dan mengenepikan kepentingan awam.”

“Peruntukan yang begitu besar kepada agensi propaganda Jasa salah satu simptom yang jelas meletakkan kepentingan politik mengatasi kepentingan rakyat.

“Kerana itu, kami melihat belanjawan yang dibentang itu sebagai tidak menghayati semangat titah DYMM Yang di-Pertuan Agong yang meletakkan kepentingan rakyat mengatasi kepentingan politik,” kata Pejuang.

“Kami berharap aspek-aspek belanjawan yang digusarkan dan ditimbulkan oleh rakyat, pakarpakar ekonomi, pemimpin-pemimpin kesatuan sekerja, penganalisa-penganalisa, pemimpinpemimpin badan bukan Kerajaan, ahli-ahli akademik dan anggota-anggota masyarakat yang lain akan dapat dinilai, diperbetul dan jika perlu dibatalkan.

“Jika ini dapat dilakukan, maka kami bersedia memberikan sokongan kepada Belanjawan 2021,” kata ahli parlimen Pejuang pada kenyataan bersama hari ini.

Kumpulan MP ini juga berkata mereka berada dalam dilema dalam mempertimbangkan sokongan terhadap Belanjawn 2021.

“Pejuang berada di dalam dilema apabila diminta menyatakan pendirian terhadap Belanjawan 2021.

“Untuk menyokong belanjawan tersebut, ahli-ahli parlimen Pejuang merasa mengabaikan kepentingan awam kerana belanjawan itu rata-rata bersifat populis tanpa mengambil kira kepentingan rakyat dan hala tuju ekonomi negara.

“Untuk tidak menyokong kami akan dituduh bermain politik ketika keadaan negara terdesak akibat daripada wabak Covid-19.

“Selain itu, jika kami mengambil pendirian tidak menyokong, kami akan dituduh tidak taat kepada titah DYMM Yang di-Pertuan Agong,” kata mereka lagi.

Terdahulu, Ketua Pembangkang Anwar Ibrahim berkata Belanjawan 2021 akan mendapat sokongan penuh dalam Dewan Rakyat sekiranya pindaan dibuat untuk “kebajikan rakyat.”

“Kerajaan, menteri kewangan dan perdana menteri tahu belum ada kepastian belanjawan dalam bentuk sekarang kalau tidak dipinda untuk membela nasib rakyat seperti yang kita tuntut.

“Belum pasti belanjawan ini kita luluskan dengan cara mudah,” kata presiden PKR itu dalam perbahasannya Rang Undang-Undang Perbekalan (Belanjawan) 2021 di parlimen hari ini.

Agong pada 28 Oktober “menasihati” semua ahli parlimen supaya mendukung Belanjawan 2021.

Ini selepas baginda menolak cadangan Perdana Menteri Muhyiddin Yassin untuk mengisytiharkan darurat.

Mengundi menolak belanjawan merupakan kaedah alternatif untuk mencabar kedudukan perdana menteri, selain usul undi tidak percaya yang difailkan di Dewan Rakyat.

Berita penuh : https://www.malaysiakini.com/news/550138