Polis beri jaminan keselamatan negara terkawal – KPN

Polis beri jaminan keselamatan negara terkawal – KPN

Polis memberi jaminan keselamatan dan ketenteraman awam negara terkawal walaupun negara tidak diisytiharkan sebagai darurat.

Ketua Polis Negara Abdul Hamid Bador berkata, ini kerana polis tetap dan sentiasa fokus kepada tugasan hakiki iaitu menjaga keselamatan dan ketenteraman awam selain melaksanakan penguatkuasaan prosedur operasi standard (SOP) perintah kawalan pergerakan pemulihan (PKPP).

“Arahan dan peringatan terus diberikan kepada petugas di lapangan untuk meningkatkan penguatkuasaan SOP bagi meringankan beban Kementerian Kesihatan.

“Orang ramai pula bebas melakukan aktiviti harian masing-masing tanpa perlu bimbang tentang keadaan keselamatan (akan) tetapi tertakluk kepada SOP PKPP di kawasan masing-masing,” katanya kepada Bernama hari ini.

Hamid berkata, tiada kompromi terhadap individu tidak bertanggungjawab yang didapati menimbulkan kegusaran dan kekacauan selain memberi peringatan polis sentiasa memantau aktiviti di seluruh negara.

“Diingatkan sekali lagi polis sentiasa memantau aktiviti di seluruh negara dan akan segera bertindak ke atas sesiapa sahaja yang tidak bertanggungjawab dengan menggunakan apa jua medium untuk menimbulkan kegusaran dan kekacauan, tiada kompromi,” katanya.

Semalam, Bernama melaporkan Panglima Angkatan Tentera Malaysia (ATM) Affendi Buang berkata ATM sentiasa berada dalam keadaan bersiap siaga walaupun Yang di-Pertuan Agong Sultan Abdullah Sultan Ahmad Shah bertitah tiada keperluan darurat diisytiharkan di negara ini.

Berikutan itu, Datuk Pengelola Bijaya Diraja Istana Negara Ahmad Fadil Shamsuddin memaklumkan Sultan Abdullah bertitah perkara itu diputuskan selepas memperhalusi permohonan dipersembahkan Perdana Menteri Muhyiddin Yassin dan berbincang dengan raja-raja Melayu selain melihat situasi sedang dihadapi negara ketika ini.

Berita penuh : https://www.freemalaysiatoday.com/category/bahasa/tempatan/2020/10/26/keselamatan-negara-terkawal-kata-kpn/