Populasi orang Islam di Korea Selatan hanya 0.3%, ini sejarah bagaimana Islam boleh sampai disana.
Di Semenanjung Korea terutama Korea Selatan, kita maklum umat Islam merupakan kelompok komuniti.
Di sebalik pelbagai label buruk yang dilempar pihak tak bertanggungjawab, terdapat 0.3% populasi Korea Selatan yang beragama Islam.
Tetapi bila Islam sampai di bumi Korea ini?
Ramai sejarawan percaya interaksi pertama antara umat Islam dengan orang Korea bermula sekitar 640-an Masihi.
Tempoh tersebut merupakan tempoh pemerintahan khalifah ketiga Khulafa’ al-Rashidin/Negara Islam Madinah (NIM), Uthman bin Affan r.a. Pada tahun itu, pengaruh Islam telah sampai ke bumi Parsi sebelum dibawa ke negeri Dang (China).
Dari sinilah, Islam terus tersebar sehingga ke bumi Semenanjung Korea yang ketika itu diperintah kerajaan Silla.
Semasa tempoh ini, kerajaan Silla berada pada kedudukan kukuh.
Ini kerana dua lagi kerajaan yang muncul ketika itu iaitu Baekje dan Goryeo diserap menjadi sebahagian daripada Silla pada 660 dan 668 Masihi. Disebabkan hubungan rapatnya dengan China, pengaruh kerajaan itu dapat dilihat dari segi politik, ekonomi dan kebudayaan.
Ramai percaya Islam tiba di sini melalui jalan perdagangan dari China. Ini dibuktikan menerusi teks sejarah Silla, Baekje dan Gogoryeo yang dikenali sebagai Samguk Sagi. Dalam manuskrip berkenaan, wujud kisah empat orang saudagar yang beragama Islam dengan salah seorang daripada mereka bernama Cho Young. Selepas tiga rakan saudagarnya itu meninggal dunia, Cho Young terus kekal di situ sebagai satu-satunya Muslim di bumi Semenanjung Korea.
Bagaimanapun, ada merasakan tempoh lebih tepat Islam hadir di bumi itu pada abad ke-11 – lebih tepat era Raja Goryeo, Hyeonjong (1009-1031). Baginda menerima kehadiran 100 pedagang Arab yang menghadap dan membawa hadiah kepadanya sebagai tanda persahabatan. Golongan Arab dipanggil dengan pelbagai nama mengikut rekod China dan Korea iaitu Tashi, Tasih, Daesik dan Hui-Hui.
Malah, satu terma Korea yang merujuk kepada agama Islam iaitu Hae Hae Kyo terus digunakan sehingga hari ini. Hae Kyo dalam Bahasa Korea bermaksud agama yang bersih dan jujur.
Selepas kemunculan Empayar Mongol dan seterusnya Dinasti Yuan di China, orang Islam mula tiba ke sebelah Timur Jauh dari Timur Tengah dan Asia Tengah. Dan ini membawa kepada lebih banyak interaksi antara orang Korea dengan umat Islam ketika itu.
Satu kawasan yang dikatakan pernah dihuni umat Islam di Semenanjung Korea ialah Kaesong (kini terletak di sebelah Korea Utara). Di sinilah, wujudnya masjid pertama di bumi Korea di mana ia berfungsi sebagai pusat ibadat dan pusat komuniti umat Islam ketika itu.
Selain itu, golongan agamawan kadang-kadang turut dijemput oleh pemimpin kerajaan bagi membacakan doa untuk majlis rasmi.
Tetapi zaman Goryeolah yang menyaksikan umat Islam pernah dilantik sebagai pegawai kerajaan. Semasa era Raja Chungnyeol (1274-1308), seorang lelaki Muslim bernama Samqa dilantik sebagai pegawai kerajaan baginda.
Sebagai tanda penghargaan kepada figura itu, Chungyeol mengurniakan nama baru buat pegawainya itu iaitu Jang Soon Ryeong.
Ramai sejarawan berselisih pandangan tentang latar belakang sebenar Samqa. Ada yang berpandangan beliau seorang pedagang Arab atau Parsi. Tetapi ada juga yang berpandangan Samqa sebenarnya berdarah Uighur.
Ini disebabkan salah satu bahasa asing utama Korea semasa era Dinasti Joseon dan digalakkan untuk dipelajari. Tidak mustahil jika ada berpandangan ini merupakan legasi Samqa yang diteruskan oleh pengganti kerajaan Goryeo, Dinasti Joseon.
Menjelang abad ke-15 dan ke-16, pengaruh pedagang Islam mula menurun. Ini disebabkan kemunculan kuasa-kuasa Eropah seperti Portugal dan Sepanyol mula berlayar di lautan dan mengembangkan pengaruh masing-masing.
Walaupun tidak mengamalkan dasar tutup pintu seperti China dan Jepun, kelibat orang asing seperti umat Islam tidak dialu-alukan oleh Dinasti Joseon. Islam kembali memancarkan sinarnya di bumi Korea pasca-Perang Korea menerusi pasukan pengaman PBB dari Turki.
BACA:
Pulak dah! Pusat Astronomi Antarabangsa jangka raya hari jumaat tapi ada yang jangka hari sabtu?