Beberapa hari ini, surat dari Bahagian Pelaburan, Pejabat SUK Kelantan berkenaan perkembangan projek KB Sentral telah beredar.
Isu yang dibangkitkan adalah mengapa projek ini diberikan kepada Syarikat Perak Transit, yang mana kontraktor utamanya adalah CCCC-ECRL.
Mengapa ia tidak diberikan kepada syarikat milik orang Melayu atau Bumiputera?
Izinkan saya menjelaskan persoalan ini bagi pihak Kerajaan Negeri Kelantan.
Dalam hal KB Sentral ini, pelbagai kaedah telah dipertimbangkan oleh kerajaan negeri untuk menjayakannya.
Rakyat menunggu dan ingin melihat projek ini berjaya dilaksanakan.
Selain daripada penswastaan, kerajaan negeri pernah memutuskan untuk membinanya sendiri.
Namun, timbul persoalan mengenai siapa yang akan mengoperasikannya.
Kerajaan negeri tidak mempunyai kepakaran untuk membina dan mengoperasikannya mengikut standard yang telah ditetapkan oleh pihak Agensi Pengangkutan Awam Darat (APAD) dan Kementerian Pengangkutan Malaysia.
Projek ini telah tertangguh dan rakyat tertanya-tanya. Antara sebabnya adalah kerana dua syarikat sebelum ini menarik diri walaupun pada asalnya bersetuju untuk membina dan memenuhi syarat-syarat yang ditetapkan oleh kerajaan negeri.
Syarikat pertama menarik diri setelah empat bulan dilantik, manakala syarikat kedua pula menarik diri selepas sekitar setahun setengah dilantik untuk melaksanakannya.
Akibatnya, projek KB Sentral tertangguh hampir dua tahun. Kedua-dua syarikat tersebut sebenarnya mempunyai pegangan saham yang dimiliki oleh Muslim dan Bumiputera.
Dalam hal ini, kerajaan negeri sebenarnya telah berusaha sebaik mungkin untuk memberikan keutamaan kepada syarikat milik Muslim atau Bumiputera.
Saya ingin menegaskan bahawa syarikat milik Bumiputera bukan tidak mampu melaksanakannya, tetapi atas sebab-sebab yang tidak dapat dielakkan, mereka terpaksa menarik diri.
BACA: Taubat lepas di kompaun DBKL, Restoran akhirnya akur guna papan tanda Melayu sepenuhnya