Projek tambakan laut di selatan Pulau Pinang (PSR) seharusnya menjadi penyelesaian terakhir bagi membiayai Pelan Induk Pengangkutan Pulau Pinang (PTMP), kata Timbalan Pengerusi PKR negeri Sim Tze Tzin.
Beliau berkata Kerajaan Negeri Pulau Pinang perlu mempertimbang untuk mencari alternatif lain termasuk mendapatkan dana daripada Kerajaan Persekutuan atau pinjaman luar bagi pembiayaan projek berkenaan.
“Kami (PKR negeri) rasa bahawa penambakan harus menjadi jalan terakhir kefrana kita tahu kesan terhadap alam sekitar dan nelayan sangat serius, kesan kepada hasil laut apabila 90 peratus yang rakyat Pulau Pinang makan akan terjejas dan kita mungkin terpaksa import dari negara lain yang kurang berkualiti.
“Kami juga ingin menyatakan dengan jelas bahawa kami tidak membantah PTMP, tetapi kami mempunyai keraguan terhadap PSR. Sebab itulah kami cuba mencari penyelesaian” katanya kepada pemberita selepas mengadakan sesi pertemuan dengan nelayan di Jeti Nelayan Sungai Batu, dekat sini hari ini.
Beliau berkata PKR negeri telah menubuhkan jawatankuasa khas yang dipengerusikan oleh Pemangku Pengerusi PKR Pulau Pinang Muhammad Bakhtiar Wan Chik untuk membantu kerajaan negeri menyelesaikan isu PSR berikutan bantahan daripada nelayan kerana didakwa projek berkenaan memberi kesan kepada pendapatan mereka dan alam sekitar.
Sim yang juga Timbalan Menteri Pertanian dan Industri Asas Tani berkata pihaknya akan terus mengadakan pertemuan dengan para nelayan bagi mendapatkan maklum balas dan cadangan sebelum perkara itu dikemukakan kepada Kerajaan Negeri.
“Tugas saya membawa suara rakyat dan sebagai Timbalan Menteri Pertanian dan wakil rakyat, adalah menjadi tanggungjawab saya untuk membawa suara nelayan,” katanya.
Sementara itu, Ketua Unit Nelayan Gertak Sanggul Datuk Chooi Sooi Kong berkata walaupun Kerajaan Negeri mengurangkan skala tambakan laut itu kepada satu pulau sahaja namun ia tetap tidak dapat menyelesaikan masalah nelayan di kawasan yang terjejas.
Menurutnya, hidupan laut seperti ikan dan udang tidak dapat membiak di kawasan tambakan sekali gus menjejaskan pendapatan nelayan.
Dalam pada itu, pengerusi Persatuan Nelayan Pulau Pinang Nazri Ahmad berkata pendirian persatuan itu konsisten iaitu membantah projek PSR.
“Kami tidak bantah PTMP sebab kami rasa itu adalah satu keperluan. Kami hanya bantah projek PSR. Kami harap Kerajaan Negeri dapat cari langkah yang lebih baik untuk membiayai projek ini. Pulau Pinang ada banyak tanah yang belum dibangunkan di Seberang Perai. Kenapa Kerajaan Negeri tidak mahu develop tanah di sana untuk dapatkan dana,” katanya.
Kerajaan Negeri bercadang menebus guna 1,821.085 hektar kawasan laut bagi membina tiga pulau buatan merentang dari selatan Lapangan Terbang Antarabangsa Pulau Pinang ke arah timur sekitar Permatang Damar Laut untuk membiayai projek PTMP.
PTMP ialah projek inisiatif kerajaan negeri dengan kos dianggarkan RM46 bilion, merangkumi terowong dasar laut menghubungkan bahagian pulau ke tanah besar, lebuh raya, LRT, monorel serta rangkaian laluan bas secara menyeluruh di bahagian pulau dan tanah besar.
BERNAMA