Puasa dan Raya dah nak dekat, Covid-19 makin menjadi, lelaki ini serik 12 jam tidur bertemankan mayat

Oleh AHMAD YUSOF MUSTAPHA

Bulan puasa dan Hari Raya makin dekat, kes penyakit berjangkit Covid-19 pula makin menjadi.

Mengimbas pengalaman menempuh gelombang pertama kali pandemik tersebut sebelum ini, seorang bekas pesakit Covid-19 serik tidur sebelah mayat .

Zambri Mohd. Isa, 44, tidak mahu lagi situasi orang mati dan pesakit bergelimpa­ngan di hospital terjadi sekali lagi jika penularan wabak itu kembali menjadi teruk.

Puasa dan Raya dah nak dekat, Covid-19 makin menjadi, lelaki ini serik 12 jam tidur bertemankan mayat

Menurutnya, keadaan itu dialaminya ketika dimasukkan ke wad kecemasan sebuah hospital di Selangor ketika disahkan menghidap jangkitan virus yang teruk pada 1 Julai 2021.

Jelasnya, sehingga kini dia dibayangi kisah ngeri dan kesakitan yang diibaratkan hanya me­nunggu ajal.

“Saya yang tidak mampu berdiri tunggu 16 jam sebelum dimasukkan ke wad kerana begitu ramai pesakit seolah-olah berada dalam medan perang.

“Ada yang duduk atas kerusi, lantai, katil dan tempat usu­ngan. Saya bergantung pada tong oksigen dan menjamah sedikit makanan sehingga naik wad,” katanya.

Menurut Zambri, dia juga terpaksa tidur di sebelah mayat selama 12 jam selepas pesakit berusia dalam lingkungan 60-an itu meninggal dunia pada pukul 2 pagi.

Tambahnya, dia kemudian dimasukkan ke unit rawatan rapi apabila keadaannya semakin kritikal selepas empat hari.

“Saya sudah tinggalkan pesa­nan kepada keluarga supaya dikebumikan di sebelah pusara ayah.

“Benda paling sakit ialah darah diambil dari arteri dua kali sehari,” katanya.

Atas sebab itu, Zambri menasihatkan orang ramai jangan sesekali leka dan ambil mudah ketika wabak itu kembali menular di negara ini.

“Jaga diri semua,” nasihatnya lagi.

Untuk rekod, kerajaan sudah menjangkakan peningkatan kes Covid-19 di negara ini pada hujung Disember ini dan awal Januari 2024 susulan cuti perayaan Krismas selain sambutan tahun baharu serta cuti sekolah.

Jangkaan peningkatan kes itu merupakan salah satu fenomena global di mana semua negara sedang berdepan situasi sama.

Sehubungan itu, Kementerian Kesihatan menasihatkan orang ramai memakai pelitup muka jika mereka menunjukkan gejala Covid-19 bagi melindungi keluarga, jiran dan rakan mereka daripada dijangkiti.

Warga emas serta mereka yang mempunyai sistem imun yang lemah dan mereka yang mempunyai komorbiditi dinasihatkan untuk menggunakan Paxlovid jika mereka menunjukkan gejala Covid-19.

Paxlovid berkesan apabila diambil dalam tempoh masa lima hari daripada hari gejala bermula.

Oleh itu, pesakit yang berisiko tinggi disarankan untuk menjalani ujian sebaik sahaja mereka mempunyai gejala.

Jika ujian Covid-19 didapati positif, pesakit dinasihatkan dapatkan penilaian perubatan awal di fasiliti kesihatan yang berhampiran untuk menentukan kelayakan mengambil Paxlovid.

Baca:Daihatsu kantoi tipu ujian keselamatan, kereta baru dari Perodua dan Toyota terima tempias