Laut China Selatan sehingga kini menjadi kawasan isu pertikaian antarabangsa, melibatkan beberapa negara Asia Tenggara serta negara China.
Dianggap kawasan perairan paling banyak berlakunya tuntutan sempadan, salah satu kes unik melibatkan kawasan Laut China Selatan
berkait dengan sebuah gugusan kepulauan yang digelarkan di peringkat antarabangsa sebagai Kepulauan Natuna.
Apa yang menarik tentang kepulauan ini, adalah kedudukan sebenarnya terletak dalam garisan geografi Malaysia tetapi diisytiharkan sebagai salah satu jajahan kerajaan Indonesia.
Seandainya satu garis lurus dilukis atas peta dari negeri Terengganu ke Sarawak, garis itu pasti akan melintasi Kepulauan Natuna. Jadi mengapa pulau itu diserahkan pada Indonesia?
Isu pemilikan Kepulauan Natuna
peta pulau natuna
Selepas penubuhan negara Republik Indonesia pada 17 Ogos 1945, lebih kurang 10 tahun selepas kemerdekaan mereka – pemimpin kerajaan Indonesia mengambil keputusan untuk membesarkan garis sempadan lautan mereka daripada jarak 3 batu nautika kepada 12 batu nautika, mengambil kira garis sempadan keseluruhan kepulauan negara itu.
Diisytiharkan secara rasmi dalam deklarasi Djuanda yang dibacakan oleh Djuanda Kartwidjaja pada 13 Disember 1957, deklarasi itu merupakan deklarasi yang mengubah cara garis sempadan negara-negara antarabangsa dilukis ketika itu.
Tindakan ini mendapat tentangan negara barat termasuklah Jepun. Beberapa negara seperti Amerika Syarikat, Britain, Australia, New Zealand dan Perancis termasuklah Jepun menghantar bantahan secara rasmi.
Indonesia membahaskan bahawa sebagai sebuah negara kepulauan, garis sempadan yang lebih besar diperlukan bagi membolehkan mereka melindungi negara mereka dari ancaman.
Berdasarkan kepada garis sempadan baru ini, kepulauan Natuna yang sebenarnya berada dalam kawasan geografi negara kita turut sama diisytiharkan sebagai salah satu wilayah di bawah Indonesia.
Tekanan antarabangsa tidak menghalang Indonesia daripada terus mempertahankan kedudukan mereka dan hasilnya, pada tahun 1982 Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu mengiktiraf apa yang Indonesia lakukan – membolehkan kepulauan Natuna dinobatkan secara sah, tanpa boleh disangkal lagi sebahagian daripada Indonesia.
Kerajaan Malaysia sendiri tidak pernah melakukan sebarang tuntutan ke atas kepulauan tersebut selepas mencapai kemerdekaan walaupun berdasarkan rekod sejarah, tuntutan Malaysia sebenarnya jauh lebih kuat berbanding Indonesia.
Lagipun, untuk tiba-tiba melakukan tuntutan secara mengejut sedangkan kerajaan Malaysia sudah pun terbentuk sekian lama boleh dijadikan asas untuk membatalkan tuntutan itu.
Jadi isu Pulau Natuna di antara Malaysia dan Indonesia dianggap selesai.
Pulau yang kaya dengan hasil bumi
jokowi pertahan kepulauan natuna
Diletakkan di bawah sistem regensi yang digelarkan sebagai Kabupaten Natuna, terdapat 154 buah pulau keseluruhannya di kawasan itu dengan hanya 27 daripadanya mempunyai penduduk. Dua pulau terbesar di kepulauan Natuna adalah Pulau Bunguran dan Pulau Serasan.
Menjadi salah satu lokasi pertikaian di antara kerajaan Indonesia dan kerajaan China ketika ini, gugusan kepulauan ini diidamkan kerana merupakan lokasi yang sangat kaya dengan hasil minyak dan gas, serta sumber tangkapan laut yang mewah. Bagaimana mewahnya Natuna?
Salah sebuah telaga minyak yang ditemui (kini dinamakan sebagai telaga minyak Natuna Timur) menempatkan simpanan minyak mentah dianggarkan sekitar 500 juta tong keseluruhannya dengan 222 trillion kaki persegi simpanan gas.
Bagi memastikan kedaulatan mereka tidak dicabar di kawasan tersebut, kebanyakan atlas dan peta Indonesia akan melabelkan kawasan lautan yang terletak di utara Natuna sebagai ‘Lautan Natuna.’ Usaha untuk mendesak PBB mengiktiraf lautan tersebut dengan nama tersebut masih belum berhasil jadi sehingga kini ‘Lautan Natuna’ hanya wujud dalam peta orang Indonesia, tidak bagi masyarakat negara lain.
Sejarah penduduk Pulau Natuna
orang kepulauan natuna
Terletak betul-betul di bahagian tengah kepulauan Nusantara, rekod terawal berkenaan kepulauan itu menyatakan tentang sebuah kerajaan yang berasal daripada percampuran kerabat Patani dan Johor-Riau, mula memerintah kepulauan itu sejak tahun 1597.
Pemerintah pertama Natuna bernama Datuk Kaya dan berikutan hubungannya dengan kerajaan-kerajaan Melayu di Semenanjung Tanah Melayu, kegiatan ekonomi antara Natuna dengan kerajaan yang ada ketika itu berjalan rancak. Selepas kedatangan penjajah Belanda dan British melakukan onar, kepulauan Nusantara mula dipecah-pecahkan.
Walaupun secara geografinya lebih Malaysia berbanding Indonesia, kerajaan Indonesia yang terbentuk lebih awal berjaya mengisytiharkan kepulauan itu milik mereka. Ada juga pendapat menyebut berikutan ketegangan era konfrontasi yang berlaku melibatkan kedua-dua kerajaan, kerajaan Malaysia memilih untuk berdiam diri daripada menimbulkan satu lagi perbalahan baru dalam usaha memulihkan hubungan kedua-dua negara.
Pada tahun 2017, jumlah populasi Natuna dikatakan seramai 76,192 orang dengan 85.27% datang daripada keturunan Melayu, 6.34% Jawa, 2.52 Tionghua dan selebihnya pecahan orang Minangkabau, Batak, Bugi, Banjar dan lain-lain. 96.82% penduduk Kepulauan Natuna mengamalkan cara hidup Islam, dengan hanya 2.8% beragama Kristian Katolik, Protestan, dan Buddha.
Bahasa pertuturan mereka menggunakan bahasa Melayu yang sangat mirip dengan bahasa pertuturan orang Terengganu di Malaysia, menunjukkan pengaruh kerajaan Patani yang sangat kuat dalam masyarakat yang menetap di Natuna.
Masa depan Kepulauan Natuna diancam China
barisan tentera berarak
Walaupun Indonesia tidak perlu berhadapan dengan tuntutan ke atas kepulauan tersebut daripada Malaysia yang sepatutnya lebih layak, kerajaan Indonesia sudah hampir beberapa dekad terpaksa berhadapan dengan beberapa negara lain yang turut sama mencabar kedaulatan negara republik itu.
Kerajaan Vietnam misalnya, sejak tahun 1977 telah pun menzahirkan rasa tidak setuju dengan garis sempadan melibatkan kepulauan tersebut kerana kedudukan bahagian utaranya yang dikatakan lebih selari dengan bahagian selatan Vietnam. Berikutan ancaman daripada Vietnam, pada era 1980-an kerajaan Indonesia membina markas tentera udara di Natuna seterusnya memindahkan beberapa ribu penduduk ke kepulauan itu.
Pada bulan Mac 1980, kerajaan Indonesia mengarahkan lebih 50,000 tentera ke kepulauan itu bagi mempersiapkan diri sekiranya berlaku serangan dari pihak Vietnam. Nasib baiklah ketegangan berjaya diredakan namun pertelingkahan demi pertelingkahan berpanjangan, sebelum persetujuan dicapai pada tahun 2003.
Satu perjanjian ditandatangani dengan Vietnam mengiktiraf kedaulatan Indonesia ke atas Natuna, dengan Indonesia bersetuju untuk melepaskan tuntutan mereka ke atas kepulauan Spratly – di mana Vietnam menjadi salah satu negara melakukan tuntutan.
Berhadapan gergasi China
kepulauan natuna indonesia riau
Berdasarkan kepada garis yang dinamakan sebagai ‘9 dash line’, kerajaan China pada ketika ini melakukan tuntutan ke atas Natuna. Garis sempadan itu diperkenalkan pada tahun 1947 dan senantiasa dikemaskini, berdasarkan kepada takrifan kerajaan China dan kerap kali menjadi punca perbalahan negara itu dengan negara-negara lain.
Dalam satu insiden pada tahun 1993, delegasi dari China dilihat sengaja menggunakan peta yang diubah memasukkan kawasan kepulauan Natuna dan kawasan sekitarnya sebagai sebahagian wilayah China, mirip dengan peta asal ‘9 dash line’ yang diperkenalkan pada tahun 1947.
Tindakan itu mendapat reaksi kerajaan Indonesia yang meminta penjelasan. Melihat kerajaan China yang berdolak-dalih, Indonesia memilih untuk menambah bilangan pesawat penggempur di Natuna serta menambah jumlah populasi di situ. Syarikat carigali gas digalakkan untuk melabur membuka telaga-telaga minyak dan gas baru di Natuna, bagi membolehkan Natuna dilindungi daripada China.
Pada tahun 1995, perbincangan bagi menamatkan krisis itu gagal dicapai dan tentera Indonesia memberikan reaksi negatif terhadap tarik tali China, kerana bertindak mencabar kedaulatan Indonesia di situ. Selepas kerajaan Suharto dijatuhkan, usaha memperbaiki hubungan Indonesia dengan China khasnya berkaitan dengan isu itu diteruskan.
Kerjasama dan perjanjian berjaya dicapai di antara kedua-dua negara pada tahun 2005, berjaya meredakan ketegangan yang telah berlaku. Tuntutan China yang dilakukan kepada PBB pada tahun 2009 ke atas beberapa kepulauan yang menjadi rebutan, menunjukkan agenda China di Laut China Selatan belum selesai.
BACA: Tular video Baby Shima gelek sakan, lain yang netizen terpandang