Pulau Pinang benarkan solat Jumaat dan fardhu berjemaah di Masjid

Pulau Pinang benarkan solat Jumaat dan fardhu berjemaah di Masjid

Pulau Pinang membenarkan pelaksanaan solat fardu dan solat Jumaat di semua masjid serta surau di negeri itu, namun dengan jumlah jemaah dibenarkan sahaja, berkuat kuasa hari ini.

Yang Dipertua Majlis Agama Islam Negeri Pulau Pinang (MAINPP), Datuk Ahmad Zakiyuddin Abdul Rahman berkata, pihaknya mengadakan mesyuarat khas semalam dan menetapkan prosedur operasi standard (SOP) baharu urusan ibadah orang Islam ketika pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP).

“Solat fardu di semua masjid dan surau di negeri ini dibenarkan dengan maksimum 15 jemaah manakala solat Jumaat membabitkan 12 hingga 45 jemaah terdiri daripada warganegara berusia 15 hingga 70 tahun, termasuk jawatankuasa kariah, pegawai masjid serta siak.

“Pelaksanaan bagi solat jenazah untuk bukan Covid-19 di masjid dan surau dihadkan kepada 20 orang sahaja, bagaimanapun ziarah kubur selepas pengebumian selesai masih tidak dibenarkan,” katanya dalam kenyataan, hari ini.

Ahmad Zakiyuddin yang juga Timbalan Ketua Menteri I berkata, MAINPP bersetuju menyediakan ruang solat untuk musafir di masjid dan surau bagi kemudahan pekerja e-hailing, khidmat penghantaran dan seumpamanya.

Beliau berkata, laungan azan di masjid digantikan dengan lafaz azan disebut kepada ‘sollu fi buyutikum’ (solatlah di rumah kamu).

“Aktiviti bacaan Yasin dan tahlil selepas solat fardu turut dibenarkan, namun terhad kepada 15 orang yang merangkumi pegawai masjid, siak dan ahli jawatankuasa kariah sahaja.

“Setakat ini, semua aktiviti pengimarahan dan aktiviti sosial secara bersemuka tidak dibenarkan termasuk tazkirah dan kuliah dijalankan di masjid atau surau,” katanya.

Sementara itu, beliau berkata, urusan akad nikah dibenarkan berlangsung di Pejabat Agama Daerah masing-masing dengan terhad kepada 10 individu.