Pusat Asasi UM ‘dihalau’ dari Kelantan, alumni tampil tuntut pembelaan

Oleh GEMILANGDAILY

Pusat Asasi UM ‘dihalau’ dari Kelantan, alumni tampil tuntut pembelaan. SIASAT PERJANJIAN PAJAKAN KAMPUS ASASI AKADEMI PENGAJIAN ISLAM UNIVERSITI MALAYA DI TANAH MILIK PAS KELANTAN DI BACHOK

1. Pendahuluan

Akademi Pengajian Islam Universiti Malaya (APIUM) merupakan pusat pengajian Islam utama Universiti Malaya (UM) yang berpangkalan di kampus utama UM di Lembah Pantai, Kuala Lumpur. APIUM telah menghasilkan ribuan graduan pengajian Islam sejak tahun 1970’an sehingga ke hari ini.

APIUM mempunyai sebuah kampus Asasi iaitu kampus bagi menempatkan para pelajar lepasan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM). Persis sebuah kolej matrikulasi, pengajian Asasi APIUM telah bertapak di Nilam Puri sejak puluhan tahun yang lalu. Lokasi Nilam Puri ini berkait rapat dengan sejarah penyerapan Yayasan Pengajian Tinggi Islam Kelantan (YPTIK) ke dalam UM pada awal dekad 80’an dahulu. Secara teknikalnya, kampus YPTIK di Nilam Puri turut diserahkan kepada UM apabila YPTIK menjadi sebahagian daripada UM dengan terbentuknya Akademi Islam UM yang kemudiannya dikenali sebagai APIUM.

2. Asasi APIUM Dihalau

Pusat Asasi UM 'dihalau' dari Kelantan, alumni tampil tuntut pembelaan

Beberapa tahun yang lalu, timbul kegemparan apabila kerajaan negeri Kelantan menuntut semula tanah Nilam Puri yang diduduki oleh Asasi APIUM, meskipun secara prinsipnya kampus Asasi APIUM telah ‘diserahkan’ kepada UM. Dalam erti kata lain, APIUM ‘dihalau’ secara terhormat oleh kerajaan Kelantan di bawah pimpinan Menteri Besar, Dato’ Ahmad Yakob. Ironinya, Dato’ Ahmad Yakob sendiri merupakan lulusan YPTIK Nilam Puri namun gagal membela nasib Asasi APIUM yang merupakan pewaris YPTIK.

Difahamkan bahawa Asasi APIUM dihalau ‘sehelai sepinggang’ tanpa sebarang pampasan, sedangkan telah banyak wang kerajaan pusat yang dilaburkan sepanjang puluhan tahun bagi melengkapkan kampus Asasi APIUM di Nilam Puri, termasuklah asrama penginapan, dewan dan kelas pengajian.

Apa yang menghairankan, peluang yang sepatutnya digunakan oleh pentadbiran APIUM dan UM untuk mencari tapak baharu yang kondusif sama ada di dalam atau luar Kelantan telah disia-siakan dengan pemilihan tapak kampus Asasi APIUM yang meragukan.

3. Pemilihan Bachok yang Meragukan

Atas pelawaan kerajaan negeri Kelantan, Asasi APIUM telah ditawarkan untuk menduduki sekeping tanah milik Parti Islam SeMalaysia (Pas) Kelantan atas nama Madinatul Ilmi di Kandis, Bachok. Tanah Madinatul Ilmi pernah menjadi pusat pengajian tahfiz Al-Quran namun tanah itu telah lama kosong dan ditinggalkan kerana ketiadaan penyewa.

Di samping lokasi yang jauh dari pusat bandar, prasarana yang ditinggalkan juga berada dalam keadaan daif, di samping bekalan asas seperti air bersih yang mengalami masalah tekanan air rendah. Dalam sekelip mata, Asasi APIUM yang sebelum ini gah beroperasi di Nilam Puri dengan kemudahan yang serba lengkap, kini “tercampak” di kawasan hulu entah mana.

Bekas Pengarah APIUM, Profesor Emeritus Dato’ Dr Mahmood Zuhdi Ab Majid di dalam beberapa majlis terbuka telah meluahkan kekecewaan beliau mengenai nasib Asasi APIUM yang dihalau ke dalam “ceruk hutan” sehingga terpaksa “merempat” di Bachok.

Pemilihan tanah Bachok yang serba kekurangan telah menyebabkan Asasi APIUM masih gagal beroperasi dengan sempurna di Bachok, sehinggakan para pelajar Asasi APIUM terpaksa dilencongkan ke Lembah Pantai untuk meneruskan pengajian mereka. Kemudahan asas seperti surau yang daif dan tidak menepati piawaian, selain isu-isu keselamatan disebabkan reka bentuk bangunan yang tidak memenuhi ciri-ciri keselamatan telah memburukkan lagi keadaan.

4. Siapa Yang Bertanggungjawab?

Ekoran dari pemilihan lokasi yang tidak sesuai, UM kini menanggung kerugian. Jutaan ringgit wang habis digunakan untuk menyewa tanah yang akhirnya masuk ke dalam kantung Pas Kelantan, di samping jutaan ringgit lagi wang yang terpaksa dihabiskan untuk memperbaiki prasarana kampus di Bachok yang sehingga kini masih gagal untuk menerima pelajar.

Siapakah yang bertanggungjawab membuat keputusan yang merugikan wang rakyat ini?

Ada juga desas-desus mengenai ‘kedegilan’ Asasi APIUM untuk kekal di Kelantan adalah kerana sikap sesetengah kakitangan yang sudah selesa menetap di Kelantan dan enggan berpindah ke tempat di luar Kelantan. Sedangkan jumlah mereka ini hanyalah sekitar 30 orang sahaja. Adakah kerana semata-mata memikirkan keselesaan sendiri maka sesetengah kakitangan ini lebih rela memperjudikan masa depan anak bangsa di samping membazirkan wang rakyat? Biarlah wang rakyat habis asalkan mereka boleh duduk di kampung halaman mereka di Kelantan?

Perkara-perkara tersebut memerlukan penjelasan yang terbuka dan telus oleh APIUM dan UM:

i. Berapakah jumlah pampasan yang diterima oleh APIUM/UM (jika ada) daripada kerajaan negeri Kelantan sebagai balasan Asasi APIUM ‘dihalau’ dari Nilam Puri? Sedangkan banyak bangunan dan infrastruktur yang dibina di Nilam Puri adalah merupakan dana yang disalurkan untuk pembangunan Asasi APIUM. Kemudahan-kemudahan itu kini dinikmati oleh Kolej Islam Antarabangsa Sultan Ismail Petra (KIAS) secara cuci kaki sahaja.

ii. Berapakah jumlah sewaan yang perlu dibayar oleh Asasi APIUM yang menduduki tanah PAS di Madinatul Ilmi, Kandis, Bachok, memandangkan hampir kesemua infrastruktur dan prasarana yang ada di tanah Madinatul Ilmi begitu daif dan uzur sekali.

iii. Berapa lamakah tempoh pajakan Asasi APIUM di tanah PAS dan apakah jaminan Asasi APIUM tidak dihalau lagi selepas ini?

iv. Berapakah jumlah kos baik pulih kampus Asasi APIUM di atas tanah milik Pas di Kandis, Bachok?

v. Siapakah dalang yang beriya-iya ingin mengekalkan Asasi APIUM di Kelantan sehingga mereka sanggup memperjudikan nasib anak cucu bangsa bakal pelajar Asasi APIUM yang terpaksa belajar “di dalam hutan” dengan kemudahan yang serba-serbi tidak lengkap?

vi. Siapakah yang merestui perjanjian pajakan yang berat sebelah dan hanya menguntungkan Pas Kelantan semata-mata? Benarkah perjanjian berat sebelah ini diatur oleh pentadbir APIUM yang begitu obses dengan Pas dan dikatakan mempunyai jawatan rasmi dalam Pas?

vii. Apakah peranan sebenar pihak pengurusan tertinggi UM yang gagal membela kebajikan mahasiswa Asasi APIUM sehingga boleh dilempar ke sana ke mari?

Sesungguhnya episod sedih Asasi APIUM ini merupakan sesuatu yang ironi dalam keadaan majoriti menteri kabinet di bawah Kerajaan Perpaduan kini merupakan lulusan UM, termasuklah Perdana Menteri, Timbalan-Timbalan Perdana Menteri dan Menteri Pendidikan Tinggi sendiri. Kita menuntut satu siasatan yang lengkap dan menyeluruh untuk mengenalpasti dalang-dalang yang menyebabkan kerugian kepada para mahasiswa, demi untuk memenuhkan kantung parti politik.

Alumni Kecewa

BACA:

Nooryana buat satu permintaan yang sangat penting kepada Anwar

Peguam perjelas sebab empat MP GRS keluar Bersatu tidak akan hilang kerusi

Ini respon terkejut Uqasha Senrose bila disuruh bertudung semula