Pelakon Puteri Balqis telah menulis sebuah puisi yang ditujukan khas untuk anak pasangan pelakon Fazura dan Fattah Amin yang baru sahaja bercerai minggu lepas.
Puisi yang berjudul “Buat adikku, Fatima” itu berkisar tentang pandangan seorang anak kepada seorang anak,
Disertakan dengan kata-kata semangat untuk Fatima agar menjadi lebih kuat dan cekal.
Dalam puisi tersebut, Puteri Balqis memberi ingatan dan nasihat agar Fatima menghargai kedua-dua ibu bapanya walaupun mereka sudah berpisah.
Puisi tersebut juga menyampaikan satu pesan mengenai ‘kekejaman’ netizen yang sering mengeluarkan kata-kata pedih tanpa mengetahui situasi sebenar.
Puteri Balqis percaya bahawa Fatima akan mampu membezakan antara baik dan buruk apabila dia membesar.
“Masa akan tiba untuk kau lebih bijak berfikir dalam membuat keputusan. Dengarlah luahan mereka, jadilah pengubat derita mereka. Aku pasti tiada ego di hati mereka untuk memohon maaf padamu, kerana kau adalah permata yang dikasihi dan dijaga dengan cukup sempurna.”
Lihat siaran ini di Instagram
Puteri Balqis turut memberikan pesanan kepada Fatima supaya sentiasa menjadi pengubat derita ibu bapanya. Pelakon berusia 17 tahun itu juga menyatakan bahawa walaupun ibu bapa Fatima bercerai,
dia masih beruntung kerana mempunyai ibu bapa yang penyayang berbanding anak-anak lain yang mengalami situasi ‘broken child’.
“Terlalu jauh jika ingin dibandingkan derita kehidupan ‘broken child’ yang sebenar. Anak-anak sepertimu masih beruntung berbanding anak-anak seperti kami. Maka, bergembiralah wahai anak kecil. Jangan kau bersedih dengan pandangan orang lain. Kau berhak untuk bahagia.
“Kita menderita kerana cinta. Maka, belajarlah dari pengalaman insan yang benar-benar mengasihimu, bukan dari musuh dalam selimut yang hanya ada di waktu kau memiliki segalanya.”
Pada masa yang sama, Puteri Balqis turut memberikan penghargaan kepada Fazura dan Fattah Amin kerana menjaga Fatima dengan baik. Puisi ini telah menarik perhatian ramai, termasuk Fazura sendiri.
Melihat kepada ruangan komen, Fazura mengucapkan terima kasih kepada Puteri Balqis atas kata-kata puitis yang disampaikan itu.
Sebagai seorang ibu, Fazura menerima pesanan tersebut dengan hati terbuka dan mendoakan agar Puteri Balqis juga diberikan kekuatan.