Qatar Airways, syarikat penerbangan premium, hari ini secara rasmi memulakan penerbangannya ke pulau peranginan bebas cukai ini.
Detik bersejarah tersebut dicatatkan dengan penerbangan Qatar Airways QR 866 yang berlepas dari Lapangan Terbang Antarabangsa Hamad, Doha dan tiba di Lapangan Terbang Antarabangsa Langkawi (LIA) pada 4.20 petang.
Turut menaiki pesawat tersebut ialah Naib Presiden Kanan Qatar Airways Asia Pasifik, Marwan Koleilat bersama lebih 80 penumpang.
Menteri Besar Datuk Seri Mukhriz Tun Dr Mahathir menyambut ketibaan penerbangan yang mengambil masa tujuh jam dengan menggunakan pesawat Boeing 787 Dreamliner itu.
Hadir sama Pengurus Negara Malaysia dan Brunei Qatar Airways, Datuk Muzammil Mohamad, Ketua Pegawai Eksekutif Lembaga Pembangunan Langkawi (LADA) Dr Hezri Adnan serta pemain industri pelancongan dari pulau ini.
Ketika ditemui pemberita, Mukhriz berkata menerusi kerjasama antara kerajaan negeri dan Qatar Airways, laluan Doha bakal membuka peluang buat Langkawi untuk menembusi pasaran bukan hanya Asia Barat malahan Eropah.
Katanya Qatar Airways akan melakukan empat penerbangan seminggu bermula hari ini sebelum jumlah penerbangan ditambah kepada lima penerbangan seminggu mulai 27 Oktober ke Langkawi menerusi Pulau Pinang dari Doha.
“Saya lihat ini peluang besar buat kami kerana Doha bukan sahaja merupakan pusat bagi penerbangan Asia Barat tetapi juga penumpang dari Eropah. Sebentar tadi kita lihat ada pelancong dari Switzerland yang turut sama menaiki pesawat tersebut.
“Ini contoh baik bila kita ada hubungan rapat dan kerjasama seperti ini yang membuka ruang begitu luas kepada pelancong seluruh dunia bukan sahaja Qatar, Asia Barat tetapi juga Eropah,” katanya.
Mukhriz berkata Langkawi memerlukan akses daripada luar negara supaya pelancong dari serata dunia dapat mengunjungi pulau ini.
“Ini satu petanda baik untuk Tahun Melawat Malaysia 2020, satu perkembangan yang sangat kami nantikan. Suka saya nyatakan Langkawi mula dikenali sebagai pulau pelancongan yang memiliki hotel-hotel berkualiti tinggi, kita bukan sahaja ada hotel tiga dan empat bintang tetapi juga ada hotel lima dan enam bintang.
“Jadi, ada hotel-hotel lima dan enam bintang, kita memerlukan pesawat-pesawat besar yang datang jauh seperti dari Doha, biasanya pesawat ini membawa penumpang yang memang menjadi pelanggan kepada hotel bertaraf lima dan enam bintang,” katanya.
Ketika ditanya mengenai promosi di pasaran yang belum pernah diteroka Langkawi, Mukhriz berkata pihaknya akan terus bekerjasama dengan Kementerian Pelancongan, Seni dan Budaya (MOTAC) bagi tujuan tersebut.
“Setakat ini kita tak ada perancangan (buat promosi sendiri), kita banyak memohon bantuan daripada pihak MOTAC kerana mereka mempunya bajet tertentu untuk promosi untuk seluruh negara termasuk Langkawi dan Kedah,” katanya.
BERNAMA