Rafizi mohon maaf ‘#UntukSemua’ telah di salah erti, ini maksud sebenarnya…

Rafizi mohon maaf ‘#UntukSemua’ telah di salah erti, ini maksud sebenarnya…

meniaga #UntukSemua

Saya wajar memohon maaf sekiranya #UntukSemua menimbulkan spekulasi.

Kami memang telah mengusahakan satu platform baru bernama #meniaga sejak beberapa bulan lepas. Tarikh “live” telah ditetapkan pada 15 Oktober 2020 sejak beberapa bulan lepas.

Platform #meniaga www.meniaga.my adalah platform pengantara dagang percuma untuk penjaja, peniaga kecil, individu dan perniagaan mikro yang kini terpinggir dari platform digital lain. Sebab itu kami memilih slogan #UntukSemua.

Kebetulan pula minggu ini ada beberapa perkembangan politik nasional yang kami tidak ketahui lebih awal.

Saya memohon maaf sekiranya pos saya memberi gambaran yang saya akan kembali ke politik (ha3), walaupun saya akui kami ada mengambil sedikit kesempatan ke atas minat rakyat kepada politik beberapa hari ini.

Saya tidak berniat untuk kembali ke lapangan politik buat masa ini. Saya tenang dan gembira dengan pilihan saya membantu orang kebiasaan melalui ruang teknologi yang saya pilih.

Meniaga adalah salah satu ruang untuk membantu orang kebiasaan.

Sejak 2018, kami telah membantu 300+ perniagaan untuk mendigitalkan pemasaran dan saluran jualan mereka.

Kami dapati ada keperluan kepada satu platform antara dagang yang ringkas bagi urusniaga bayaran-semasa-penghantaran (atau cash-on-delivery, COD) bagi membantu penjaja dan peniaga kecil, terutamanya ketika Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) dahulu.

Kebanyakan platform sedia ada tidak membenarkan urusniaga COD. Platform-platform ini mengambil caj komisen (antara 20% ke 30%) ke atas setiap jualan peniaga. Kutipan jualan masuk ke platform dahulu, selepas itu barulah jumlah bersih (selepas ditolak komisen) dibayar kepada peniaga.

Ini meminggirkan sebahagian besar peniaga, terutamanya individu dan peniaga mikro kerana mereka tidak memenuhi kriteria saiz dan kewangan yang ditetapkan oleh platform lain; atau caj komisen yang tinggi menyebabkan berniaga di platform digital tidak menguntungkan.

Di @invokeisdata, kami berfungsi sebagai perniagaan berorientasikan matlamat sosial. Kami membangunkan produk digital untuk kumpulan terpinggir yang membawa kebaikan kepada masyarakat.

Meniaga membolehkan individu, peniaga mikro atau perniagaan apa pun menguruskan dan memenuhi tempahan secara digital tanpa perlu membayar caj komisen. Pembeli boleh mencari peniaga dalam lingkungan kawasan sama seperti tempahan di platform lain. Peniaga juga menerima, mengemaskini, merekod dan memenuhi tempahan dengan cara yang sama seperti platform lain.

Bezanya hanyalah di peringkat pembayaran.

Oleh kerana pembeli membayar semasa penghantaran, #meniaga menjana kod urusniaga yang mesti dimasukkan oleh peniaga dan pembeli untuk menyempurnakan urusniaga. Ini membolehkan algoritma kami menilai dan menarafkan peniaga dan pembeli mengikut risiko keingkaran urusniaga untuk mengurangkan risiko penipuan atau tempahan yang tidak dipenuhi.

Tujuan kami ialah untuk menggalakkan seberapa banyak urusniaga setempat dalam lingkungan 10-km, di mana pembeli boleh mengambil sendiri atau peniaga boleh menghantar tempahan sendiri. Harapan kami ini akan mengurangkan kos untuk memulakan perniagaan, supaya lebih ramai orang biasa dapat memulakan perniagaan mikro dari rumah tanpa membayar sewa atau pengiklanan. Yang penting adalah mutu dan harga produk yang berpatutan.

Ini tidaklah menarik seperti perkembangan dan drama politik yang kita saksikan setiap hari (dan saya langsung tidak rindu kepada drama-drama itu), namun saya harap platform #meniaga dapat membantu orang biasa di luar sana dengan cara yang tidak seberapa ini.

Bantu saya sebarkan maklumat mengenai #meniaga supaya seberapa ramai orang boleh turut serta. Kalau pun anda belum bersedia untuk berhenti kerja untuk berniaga sepenuh masa, sekurang-kurangnya cuba #meniaga secara percuma untuk pendapatan sampingan.

Mula #meniaga secara percuma bermula hari ini.

Sumber :

COMMENTS