Raja Kamarul zahir kebimbangan syarikat milik Khazanah dilapor bergabung dengan Eco World

Raja Kamarul zahir kebimbangan syarikat milik Khazanah dilapor bergabung dengan Eco World

Bekas timbalan menteri di Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan (KPKT) hari ini membantah penggabungan antara UEM Sunrise Berhad dan Eco World Development Group Bhd yang menurutnya menimbulkan pelbagai persoalan.

Senator Raja Kamarul Bahrin berkata, keputusan Pengarah Urusan dan Ketua Pegawai Eksekutif UEM Sunrise Bhd, Anwar Syahrin Abdul Ajib, meletakkan jawatan semalam, sehari selepas laporan mengenai penggabungan itu mengejutkan banyak pihak.

“Banyak pihak menganggap penggabungan ini akan merugikan UEM Sunrise-Khazanah dan lebih banyak menguntungkan ECO World,” katanya dalam kenyataan, hari ini.

Raja Kamarul yang juga pengerusi Amanah Terengganu turut menzahirkan kebimbangan apabila dikatakan Eco World akan menguasai syarikat baharu ini, manakala UEM Sunrise yang di miliki Khazanah pula akan kurang berkuasa menentukan hala tuju syarikat.

Terdahulu, Pemuda Umno Wilayah Persekutuan turut mendesak kerajaan menghentikan langkah penggabungan antara syarikat hartanah UEM Sunrise dengan Eco World Development Group Bhd.

Ketuanya, Mohamed Nizham Abdullah Hamdi, berkata pihaknya percaya penggabungan itu tidak seharusnya berlaku dan UEM Sunrise harus menjelaskan mengapa syarikat induk, UEM Group, memilih Eco World.

Bahkan, Nizham turut meminta penjelasan apakah kepentingan Bumiputera masih akan dilindungi memandangkan UEM mempunyai bank tanah besar dan sebahagian besar bank tanah ini tertumpu di kawasan Bumiputera

UEM Sunrise sebelum ini memaklumkan menerima surat cadangan daripada syarikat induk, UEM Group Berhad, mencadangkan ia bergabung dengan Eco World Development Group Bhd.

UEM Group merupakan anak syarikat Khazanah Nasional Berhad. Dalam surat itu, UEM Group menjangkakan suatu keputusan mengenai cadangan itu menjelang 30 Oktober.

Sementara itu, UEM Group berkata cadangan penggabungan dijangka membentuk salah satu syarikat pembangunan hartanah terbesar di Malaysia, dengan unjuran nilai pembangunan kasar RM173.2 bilion dan aset tanah melebihi 17,000 ribu ekar dalam negara.

Berita penuh : https://www.freemalaysiatoday.com/category/bahasa/tempatan/2020/10/10/putrajaya-perlu-kaji-semula-penggabungan-uem-sunrise-eco-world-kata-raja-kamarul/