Setiap kali bulan Ramadan tiba, kebanyakan umat Islam di negara kita penuh bersemangat untuk menjalankan ibadah berpuasa dan merayakan Hari Raya.
Pada zaman dahulu, lagu-lagu raya sudah mulai berkumandang di radio walaupun Ramadan baru bermula.
Sanak saudara juga sudah mula mengirim surat dan kad raya sejak awal bulan puasa.
Kad yang diterima kemudiannya akan digantung sebagai hiasan Hari Raya. Kalau dapat kad dari Istana, pasti rasa bangga.
Tetapi, amalan itu sudah tidak lagi diamalkan pada zaman sekarang. Kini, setiap orang hanya menghantar mesej Hari Raya kepada rakan-rakan melalui WhatsApp dan media sosial.
Selain itu, ada juga yang memilih untuk menyambut Ramadan dan Hari Raya secara lebih sederhana pada tahun 2024 berbanding tahun-tahun sebelumnya. Jika sebelum ini mereka sering pergi ke bazar Ramadan setiap hari, kali ini ramai yang memilih untuk memasak sendiri di rumah.
Berkaitan dengan pakaian raya, jika sebelum ini mereka belanja beratus-ratus ringgit untuk beberapa pasang pakaian, tahun ini ramai yang memilih untuk lebih berjimat kerana faktor ekonomi semasa. Malah, ada yang mengenakan baju raya dari tahun sebelumnya untuk menjimatkan kos.
Adakah ini disebabkan oleh peningkatan usia atau perubahan zaman?
Berdasarkan tinjauan di media sosial, kami dapati bahawa beberapa ibu bapa mengaku terpaksa berjimat dalam persediaan Hari Raya kerana telah menghabiskan banyak wang semasa permulaan sesi persekolahan sebelum ini.