Rakyat mula muak dengan kerajaan yang terlalu utamakan ahli politik demi kepentingan diri

Rakyat mula muak dengan kerajaan yang terlalu utamakan ahli politik demi kepentingan diri

Perdana Menteri, Muhyiddin Yassin digesa menunjukkan kepimpinan tegas dengan satu kenyataan yang jelas dan tanpa ragu-ragu, bahawa tidak akan ada rombakan Kabinet.

Setiausaha Agung DAP, Lim Guan Eng berkata, langkah ini akan membenarkan kerajaan untuk memfokus kepada krisis kesihatan Covid-19, dengan menghapuskan obsesi politik terkini tentang rombakan Kabinet.

“Rekod 871 kes jangkitan Covid-19 yang merupakan angka tertinggi adalah satu peringatan yang memalukan tentang kegagalan Kerajaan Persekutuan untuk menyokong Kementerian Kesihatan dalam menangani pandemik ini,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Guan Eng yang juga mantan Menteri Kewangan berkata, Kabinet, Menteri Dalam Negeri dan Perdana Menteri perlu menanggung tanggungjawab yang paling besar dalam perkara tersebut.

Menurutnya, Kabinet telah gagal untuk melaksanakan peraturan kuarantin dan protokol keselamatan Covid-19 ke atas mereka yang pulang dari Sabah selepas pilihan raya negeri Sabah.

Beliau menjelaskan, pilihan raya negeri Sabah adalah sesuatu yang tidak perlu tetapi telah disebabkan oleh percubaan rampasan kuasa yang didalangi Perdana Menteri dan bekas Ketua Menteri UMNO Sabah untuk menjatuhkan Ketua Menteri Sabah ketika itu, Datuk Seri Shafie Apdal.

“Namun, mereka yang bertanggungjawab enggan mengaku salah malah cuba untuk menyalahkan DAP pula. Kemunafikan ini samalah seperti Menteri Khairuddin (Khairuddin Aman Razali) yang menasihati orang awam untuk mematuhi peraturan kuarantin dan Covid-19,” ujarnya.

Tidak seperti rakyat Malaysia biasa, Guan Eng berkata, Khairuddin diberi layanan istimewa dan tidak didakwa di mahkamah kerana gagal mematuhi kuarantin 14 hari di rumah.

Kepada PN dan BN serta Khairuddin yang terus menyalahkan DAP atas kegagalan mereka, Guan memberitahu: “Sila lihat cermin dan muhasabah diri.”

Katanya, rakyat sudah muak dengan kerajaan ini yang hanya menjaga kepentingan mereka sendiri.

“Rakyat Malaysia bergantung pada diri mereka sendiri untuk mengatasi wabak COVID-19 ini dengan wira-wira barisan hadapan. Bersama kita akan berjaya mengharunginya,” katanya. — Roketkini.com

Sumber : https://www.roketkini.com/2020/10/19/rakyat-dah-muak-dengan-kerajaan-yang-hanya-jaga-kepentingan-sendiri-guan-eng/