Prebiotik dan probiotik memainkan peranan penting dalam mengekalkan kesihatan sistem penghadaman.
Keduanya berfungsi untuk menyokong keseimbangan mikroorganisma di dalam usus, yang secara langsung mempengaruhi kesejahteraan tubuh secara keseluruhan.
Jika anda masih belum jelas tentang perbezaan antara prebiotik dan probiotik, artikel ini akan membantu anda memahami kedua-duanya dengan lebih mendalam.
Menerusi perkongsian di laman Facebook Dr. Zubaidi Hj Ahmad, berikut adalah perbezaan utama antara prebiotik dan probiotik:
– Probiotik merujuk kepada bakteria baik yang terdapat dalam makanan dan memainkan peranan penting dalam sistem pencernaan kita.
Probiotik membantu mewujudkan ekosistem seimbang di dalam usus besar, yang berfungsi untuk mengawal populasi bakteria berbahaya agar tidak menjadi berlebihan dan memberikan kesan negatif kepada tubuh.
– Prebiotik pula adalah karbohidrat yang tidak dapat dicerna oleh tubuh, namun berfungsi sebagai ‘makanan’ kepada bakteria baik di dalam usus.
– Probiotik biasanya terdapat dalam makanan yang sudah menjalani proses penapaian (fermentasi).
Contohnya termasuk produk susu seperti yogurt, produk susu kultur, kimchi (makanan tradisional Korea yang diperbuat daripada sayur-sayuran yang difermentasi), Sauerkraut (hidangan Jerman daripada kubis yang difermentasi), dan tapai pulut.
– Prebiotik pula biasanya hadir dalam makanan yang tidak diproses, seperti sayur-sayuran dan buah-buahan yang tinggi serat, bawang putih, bawang besar, asparagus, pisang, kekacang, dan bijirin.
Untuk memastikan keseimbangan mikroorganisma yang sihat dalam usus, kita perlu menggabungkan prebiotik dan probiotik dalam pemakanan harian dengan diet yang seimbang.
BACA: Penumpang kongsi detik akhir pesawat Azerbaijan terhempas, sempat mengucap