Ramai mula bimbang hilang pekerjaan, kata kajian

Ramai mula bimbang hilang pekerjaan, kata kajian

Kajian Pusat Penyelidikan EMIR Research pada suku keempat tahun 2020 mendapati 81 peratus daripada responden menunjukkan kebimbangan akan kehilangan pekerjaan akibat pandemik COVID-19.

Menurut kenyataan media dikeluarkan pusat penyelidikan itu pada Isnin, ia merupakan tahap kebimbangan tertinggi berbanding kerisauan terhadap ancaman COVID-19 yang dibawa oleh pendatang asing tanpa izin (PATI), kualiti pendidikan, gaji yang tidak mencukupi masing-masing pada kadar 79 peratus.

“Responden dari kawasan bandar diihat lebih tinggi kebimbangan mereka berbanding kawasan luar bandar.

“Enam perkara yang membimbangkan iaitu kehilangan pekerjaan, gaji tidak mencukupi, ancaman COVID-19 dibawa PATI, peningkatan tahap hutang negara, kesihatan mental dan tekanan perasaan; dan masa menunggu untuk berjumpa doktor,” jelas kenyataan itu.

Pecahan mengikut etnik pula, masyarakat Melayu dan Bumiputera serta kaum India menunjukkan tahap kebimbangan tinggi berbanding responden kaum Cina mengenai kualiti pendidikan, kualiti sektor kesihatan dan kesihatan mental.

Dari sudut pendapatan isi rumah pula, responden bergaji RM3,001 sehingga RM5,000 juga menunjukkan tahap kebimbangan tinggi berbanding golongan berpendapatan rendah RM1,500 ke bawah.

Indeks Kebimbangan Nasional (NWI)

Dalam pada itu, kajian Indeks Kebimbangan Nasional (NWI) pada suku keempat tahun 2020 juga menyaksikan penurunan pada paras 0.7603 berbanding 0.7878 pada suku sebelumnya.

“Penurunan mendadak dicatatkan meskipun masih dalam tahap kebimbangan maksimum. Apabila kita mengelompokkan responden mengikut tahap kerisauan mereka menggunakan jalur skala NWI, dan menyusun jadualnya dengan mengharapkan masa depan lebih baik.

“Mereka yang menunjukkan kebimbangan pada tahap minimum dan sederhana kurang bersetuju terhadap cadangan bahawa kehidupan akan lebih baik pada masa depan,” jelas kenyataan itu lagi.

Dalam pada itu, penurunan kebimbangan NWI lebih banyak ditunjukkan oleh masyarakat di luar bandar.

Masyarakat Melayu dan Bumiputera serta masyarakat Cina menunjukkan penurunan tahap kebimbangan mereka.

Bagaimanapun masyarakat India menunjukkan tahap kebimbangan yang sama pada suku ketiga tahun 2020.

Kajian turut menunjukkan 58 peratus rakyat pada tahap kebimbangan maksimum bersetuju mereka mengharapkan masa depan lebih baik, manakala 31 peratus tidak pasti dan 11 peratus lagi tidak bersetuju.

Kajian turut dijalankan mengenai respons rakyat terhadap Belanjawan 2021 yang dibentangkan sebelum ini.

Tujuh isu dibangkitkan kepada responden, 60 peratus responden bersetuju bahawa peruntukan bagi menentang COVID-19 perlu ditingkatkan. Manakala 30 peratus responden tidak pasti dan sembilan peratus tidak bersetuju.

Ia mengatasi 59 peratus responden yang bersetuju bahawa peruntukan terhadap golongan rentan perlu ditingkatkan diikuti 34 peratus tidak pasti dan lapan peratus lagi tidak bersetuju.

Dalam pada itu, mengenai peruntukan dibentangkan dalam Belanjawan 2021, 48 peratus responden bersetuju bahawa Belanjawan 2021 memenuhi keperluan rakyat, 28 peratus tidak pasti dan 24 peratus lagi tidak bersetuju.

Manakala bagi 39 peratus responden bersetuju Belanjawan 2021 digunakan sebagai perkakas politik, 38 peratus tidak pasti dan 22 peratus lagi tidak setuju.

37 peratus responden pula bersetuju bahawa peruntukan tinggi diberikan bagi perkhidmatan tidak perlu, manakala 37 peratus tidak pasti dan 26 peratus lagi tidak bersetuju.

Mengenai defisit Belanjawan pula, 50 peratus responden tidak pasti, 35 peratus responden bersetuju dan 15 peratus lagi tidak bersetuju.

Berita penuh : https://www.astroawani.com/berita-malaysia/81-peratus-rakyat-malaysia-bimbang-kehilangan-pekerjaan-akibat-covid19-kajian-281930