Ramai tak tahu gaji kerja bawa kren boleh cecah RM10000, tapi ini cabaran kerja yang kena hadap setiap hari
Biasanya kalau kita tengok kat tapak-tapak pembinaan pasti akan nampak kren yang tinggi-tinggi,
Pernah tak korang fikir macam mana orang yang duduk kat dalam kren tu kendalikan kren ni, gayat dah satu hal, kalau angin kuat, ribut, tak ke naya kalau tumbang.
Tower Crane ni ada banyak jenis, tapi yang popular diguna pakai di Malaysia ni adalah jenis Hammerhead dan Luffing Jib.
Tower Crane jenis Hammerhead. Besi panjang kuning tu dipanggil horizontal jib, kerana jib kren jenis ini lurus dan hanya boleh bergerak ke kiri dan ke kanan sahaja.
Korang tahu tak bekerja sebagai operator tower crane ni tak memerlukan tahap pendidikan yang tinggi pun, malah operator tower crane antara salah satu pekerjaan dengan gaji termahal ditapak pembinaan.
Percaya atau tidak, gaji operator-operator ni basic pun dah RM4,000-RM5,000 sebulan, kebiasaanya memang akan selalu overtime sebab nak siapkan projek cepat, jadi gaji diorang ni boleh cecah RM10,000 sebulan tau.
Proses menaikkan kren sangat unik, kompleks dan berisiko
Bukan senang nak naikkan kren setinggi berpuluh-puluh meter. Kren ni dibina dengan sistem yang mudah dicantum dan dileraikan semula supaya senang nak dibawa dari satu tapak ke satu tapak pembinaan yang lain.
Setiap komponen tower crane dibina menggunakan besi padu yang sangat kukuh. Tapak tower crane pula akan dibenamkan di dalam konkrit sedalam beberapa kaki agar dapat menampung berat yang akan dinaikkan sehingga ke ketinggian berpuluh meter ke atas.
Proses menaikkan kren dipanggil ‘jacking-up mast section’, yang mana bahagian atas kren akan dinaikkan sedikit demi sedikit oleh mesin pengangkat berkuasa hidraulik yang dipasang pada kaki kren. Tengok video ni untuk dapatkan gambaran jelas macam mana tower crane dipasang dan ditambah ketinggiannya.
Proses ni adalah antara proses yang amat berisiko dan menggerunkan sebab setiap kali nak tambah ketinggian kren, masa tolak ke atas tu, bergoyang-goyang satu kren, memang kecut perutlah dan kalau tak cukup berani, silap-silap boleh terkucil kat atas tu. Kalau tersilap langkah, kren boleh tumbang dan nyawa beberapa orang pekerja boleh melayang.
Kerja sebagai operator tower crane ni bukanlah semata-mata duduk dalam kren kemudian mengawal kren untuk angkut barang dari satu tempat ke satu tempat je. Malah korang kena tahu nama dan fungsi setiap komponen, kena tahu membezakan suatu komponen tu dalam keadaan yang baik atau tidak, sebab koranglah yang kena lakukan pemeriksaan harian atau pemerisaan berkala terhadap kren.
Rekod pemeriksaan perlu diisi dengan betul dan laporan pemeriksaan perlu disediakan untuk dihantar kepada penyelia ataupun pengurus projek.
Selain itu, operator kren juga wajib menguasai bahasa isyarat yang digunakan sewaktu mengendalikan kren. Bahasa isyarat ini adalah isyarat dalam bentuk gerakan tangan yang digunakan oleh pembantu operator kren yang biasanya dipanggil rigger untuk menyampaikan sesuatu maklumat kepada operator ketika sedang mengendalikan kren.
Bahasa isyarat ni sangat penting untuk difahami oleh operator kren supaya tidak tersilap langkah ketika kren hendak mengangkat beban yang berat dan membahayakan nyawa pekerja lain yang bekerja dibawah.
Contoh isyarat tangan yang digunakan oleh rigger untuk menyampaikan maklumat atau arahan seterusnya kepada operator kren.
Dari aspek keselamatan sewaktu pengendalian kren pula, korang perlu tahu had keupayaan kren yang dikendalikan, dan perlu tahu kaedah pengendalian kren yang selamat.
Tak bolehlah sesuka nak angkat beban seberapa berat pun, atau mengendalikan kren secara sambil lewa, contohnya, sambil menggunakan handphone atau cuba kendalikan kren melebihi had kemampuan kren tersebut.
Setiap operator kren wajib merujuk dan faham macam mana nak membaca lembaran yang dipanggil load chart atau carta beban sebelum sesuatu beban/barang boleh diangkat.
Pemandangan dari dalam kabin ketika operator sedang mengendalikan tower crane. I
Korang akan berisiko menghadapi kemalangan maut
Tak boleh dinafikan setiap pekerjaan mempunyai risiko yang tersendiri. Macam tu juga dengan operator tower crane ni, dan salah satu sebab pekerjaan ni ditawarkan gaji yang lumayan adalah kerana risiko pekerjaan yang tinggi yang mereka terpaksa tanggung setiap hari.
Yelah, paling jelas sekali kerja berjam-jam dekat tempat tinggi, risiko jatuh masa nak panjat ke atas kren, risiko kren tumbang, bukan kecil-kecil punya risiko, boleh hilang nyawa tu.
Satu lagi, duduk je atas kerusi berjam-jam memang nampak macam tak penatkan, tapi sebenarnya ia akan memberi tekanan kepada tulang belakang, silap-silap boleh dapat sakit belakang pulak.
Selain dari tu, risiko cuaca buruk secara tiba-tiba juga antara risiko terbesar yang terpaksa mereka hadapi.
Kalau korang masih ingat, 24 Ogos 2017 yang lalu, Hong Kong dilanda Taufan Hato yang cukup kuat, banyak video mengenainya telah menjadi viral, antaranya adalah tower crane yang berpusing macam kipas malah ada yang tumbang akibat pukulan angin Taufan Hato yang amat kuat. Tengok video-video ringkas ni.
Video 1. Tower crane berpusing seperti kipas. Seram tengok.
Video 2. Tower crane tumbang. Moga-moga takde oranglah atas kren ni masa tu.
Kecuaian operator kren juga boleh menyebabkan kemalangan yang mungkin bakal meragut nyawa operator tu sendiri ataupun orang lain. Tahun lepas, pada 25 Ogos 2016, satu kemalangan kren yang menggemparkan negara telah berlaku di tapak pembinaan di Jalan Raja Chulan berhampiran dengan pusat membeli-belah Pavillion di Kuala Lumpur.
Cangkuk seberat beratus-ratus kilogram yang mengangkut barang dari salah satu tower crane kat situ jatuh dari ketinggian hampir 20 tingkat dan telah menghempap sebuah Perodua Kelisa yang dipandu seorang wanita cina.
Mangsa yang berusia 24 tahun meninggal ditempat kejadian.
Korang tak boleh turun makan dan ke tandas sepanjang waktu kerja
Kalau dah bekerja kat tempat tinggi, pasti korang tertanya-tanya macam mana operator ni nak naik ke atas, macam mana nak pergi makan dan ke tandaskan?
Menurut perkongsian seorang operator tower crane yang bernama Mohd Fakhruddin atau lebih mesra dikenali sebagai Din, sepanjang waktu kerja, jika tiada kecemasan, biasanya dia hanya turun dari tower crane setelah habis waktu kerja je.
Untuk naik ke atas, operator akan menaiki lift sementara yang dipasang pada bangunan yang sedang dibina tu, dan dari bangunan tu, operator perlu melintasi titian kecil yang menyambungkan bangunan dan kaki tower crane, tapi oleh kerana tower crane ni dipasang lebih tinggi dari bangunan yang sedang dibina, operator perlu memanjat sendiri diketinggian selebihnya.
Operator tower crane sedang memanjat ke atas dari dalam mast.
Waktu kerja normal bagi operator tower crane biasanya adalah dari 8 pagi hingga 5 petang, tapi Din selalunya akan sambung buat overtime hingga pukul 10 malam. Bermakna kalau nak makan atau kencing dan berak sepanjang waktu tu, Din kena lakukan di dalam kren je.
Bab makan masih mudah, kren operator boleh bawa bekal siap-siap sebelum memulakan kerja, ataupun minta rakan sekerja belikan, dan kren operator akan naikkan makanan tu dengan menggunakan kren. Tapi macam mana pula kalau nak kencing atau berak? Inilah jawapannya.
Dan dalam nilah mereka berak.
Bila dah habis waktu kerja, barulah bawa turun ‘sisa-sisa’ ni untuk dibuang ditempat yang sepatutnya. Bagi kami kencing tu ok lagi lah, tapi berak tu mencabarkan? Korang sanggup?
Persaingan yang tinggi dengan warga asing
Menurut Din lagi, kerjaya sebagai operator tower crane di Malaysia dilihat semakin mencabar. Salah satu faktornya adalah persaingan yang tinggi dengan warga asing.
Sudahlah kebanyakan syarikat menyerahkan tugasan menyediakan operator tower crane kepada subkontraktor yang mana gaji yang ditawarkan sudah pasti lebih rendah, malah sesetengah syarikat subkontraktor yang mahu mengaut untung lebih akan memilih untuk menggaji warga asing sebagai operator tower crane mereka kerana gaji yang diberikan kepada warga asing jauh lebih murah.
Malangnya, kebanyakan warga asing yang digajikan ini tidak pernah menghadiri sebarang kursus pengendalian kren malah tidak berdaftar dengan Jabatan Kesihatan dan Keselamatan Pekerjaan (JKKP) sedangkan dorang sepatutnya wajib berdaftar dan mendapatkan lesen dari JKKP sebelum boleh mula mengendalikan mana-mana kren.
Gambar dari atas tower crane yang dikendalikan oleh Din, Gambar ni diambil waktu Din tengah berehat.
Buat masa ni, rakan-rakan Din yang lebih otai dalam dunia tower crane tengah berusaha bagi menubuhkan kesatuan sekerja/union yang berdaftar untuk operator tower crane Malaysia. Tujuannya hanya untuk membela nasib operator tower crane kita agar mereka tidak perlu bersaing dengan warga asing yang tidak berkelayakan dan mendapat bayaran setimpal dengan kelayakan dan risiko yang mereka tanggung sewaktu mengendalikan tower crane.
Pekerja perlu bersatu hati memperjuangkan hak mereka.
Macam mana nak jadi operator tower crane? Di mana nak mula?
Bagi yang berminat untuk menjadi operator tower crane, korang boleh daftar di Akademi Binaan Malaysia (ABM).
Selain dari menawarkan kursus dalam bidang pengendalian tower crane, banyak lagi kursus-kursus berkaitan dunia pembinaan yang korang boleh ikuti kat sini.
Selain itu, korang juga boleh mendapatkan maklumat-maklumat kursus dan peluang pekerjaan dalam bidang pembinaan di pameran Minggu Pembinaan Antarabangsa yang dianjurkan setiap tahun oleh CIDB Malaysia.
BACA:
‘King’ megah di Malaysia tapi tak laku di Indonesia, ini punca sebenarnya