Remaja perempuan 14 tahun menyamar jadi petugas Hospital Serdang selama seminggu

Oleh AHMAD YUSOF MUSTAPHA

Polis Diraja Malaysia (PDRM) mengesahkan bahawa mereka telah menerima laporan daripada kakitangan

sebuah hospital di Serdang mengenai seorang remaja yang menyamar sebagai pegawai perubatan.

Menurut laporan Sinar Harian, remaja perempuan berusia 14 tahun yang tidak dikenali itu telah berada di dalam dewan bedah hospital berkenaan.

Ketua Polis Daerah Sepang, Asisten Komisioner Wan Kamarul Azran Wan Yusof,

memaklumkan bahawa pihaknya menerima laporan mengenai kejadian tersebut kira-kira jam 1 petang pada hari Rabu.

Remaja perempuan 14 tahun menyamar jadi petugas Hospital Serdang selama seminggu

Wan Kamarul berkata, laporan tersebut menyatakan bahawa remaja berkenaan mengaku sebagai pegawai perubatan dan mahu membantu menjalankan pembedahan.

Hospital kemudian mengesan kehadiran remaja yang sama pada hari Khamis sekitar jam 8.30 pagi.

“Remaja ini cuba mendaftar di kaunter dengan menggunakan identiti palsu.

“Pihak hospital kemudian menghubungi polis dan remaja tersebut ditangkap pada jam 9 pagi,” katanya seperti yang dilaporkan oleh Sinar Harian.

Polis menahan remaja tersebut di lobi hospital dan merampas sehelai baju scrub, seluar scrub, dan ‘lanyard’ milik hospital tersebut.

Menurut Wan Kamarul, satu kertas siasatan telah dibuka di bawah Seksyen 448 Kanun Keseksaan atau Seksyen 170 Kanun Keseksaan kerana menceroboh dan menyamar sebagai penjawat awam.

“Jika sabit kesalahan menceroboh, individu boleh dikenakan hukuman penjara hingga tiga tahun atau denda maksimum RM5,000 atau kedua-duanya sekali.

“Sementara itu, hukuman bagi menyamar sebagai penjawat awam boleh dikenakan penjara dua tahun atau denda atau kedua-duanya sekali,” katanya.

Wan Kamarul juga mengingatkan orang ramai supaya tidak membuat spekulasi atau menyebarkan berita tidak benar mengenai kejadian tersebut.

Dalam laporan berasingan, Sinar Harian melaporkan bahawa siasatan awal mendapati remaja terbabit disyaki telah menyamar sebagai petugas di hospital tersebut selama seminggu.

BACA: Tiba-tiba ayah rajin nak ambil aku pulang dari sekolah, belakang mak rupa-rupanya ini kerja ayah dengan cikgu aku”