Retak menanti belah, UMNO singkir Bersatu menjelang PRU15?

Retak menanti belah, UMNO singkir Bersatu menjelang PRU15?

UMNO tidak akan membiarkan Bersatu mengepalai kerajaan Perikatan Nasional (PN) dan hanya akan bertahan dalam “gabungan tidak selesa” ini sehingga pilihan raya umum akan datang, kata Ahli Parlimen Bangi Ong Kian Ming.

Ong berkata apa juga bentuk kerjasama antara Bersatu dan Umno akan berakhir sebaik sahaja Parlimen dibubarkan.

Dalam satu kenyataan hari ini, Penolong Pengarah Pendidikan Politik Kebangsaan DAP itu juga berkata pemimpin dan ahli Umno tidak akan menerima dua parti itu berkongsi kuasa untuk jangka masa panjang.

“Yang paling penting, dari segi strategi politik, pemimpin Umno perlu sedar bahawa matlamat utama Bersatu adalah untuk menggantikan Umno dalam arena politik sebagai parti Melayu paling dominan dalam kerajaan.

“Hanya dengan cara ini Bersatu dapat bertahan selepas PRU15, dan Umno menyedarinya.”

Menurutnya, Umno tidak biasa menjadi parti nombor dua dalam kerajaan, apatah lagi ia mempunyai 41 ahli Parlimen, sedangkan Bersatu hanya 29.

Tetapi, lebih ramai menteri dan timbalan menteri dari Bersatu berbanding Umno, tambah bekas menteri perdagangan antarabangsa dan industri itu.

Malah kebanyakan kementerian utama – pendidikan, dalam negeri, ekonomi, perdagangan antarabangsa dan industri – dipegang oleh ahli Parlimen Bersatu atau sekutu Perdana Menteri Muhyiddin Yassin.

Ong berkata Umno juga buat pertama kalinya presiden, timbalan presiden dan dua naib presidennya tidak memegang sebarang jawatan dalam Kabinet.

Hanya Naib Presiden Ismail Sabri Yaakob yang dilantik sebagai menteri pertahanan dan salah seorang daripada empat menteri kanan.

Sumber: