Seorang pemandu teksi mendapat “durian runtuh” apabila dibayar hampir RM5,000
selepas berjaya menghantar penumpang ke lapangan terbang tepat pada masanya.
Penumpang tersebut, yang merupakan seorang pengembara, memberikan bayaran sebanyak EUR1,000
atau sekitar RM4,685 kepada pemandu tersebut dan berkongsi pengalaman itu di laman Facebook.
Pemandu berkenaan, Chang Yim, berkata beliau berjaya menghantar penumpang dari Lapangan Terbang
Don Mueang ke Lapangan Terbang Suvarnabhumi dalam tempoh 30 minit untuk mengejar penerbangan.
Perjalanan itu sangat cepat memandangkan jarak antara kedua-dua lapangan terbang biasanya mengambil masa sekitar 45 minit.
Chang turut berkongsi foto dua keping wang kertas EUR500 yang diterimanya daripada penumpang tersebut. Dalam foto itu, meter teksinya menunjukkan bahawa kos perjalanan sepatutnya hanya THB677 (RM90).
Chang menjelaskan bahawa pada asalnya, beliau sepatutnya menurunkan penumpang tersebut di Lapangan Terbang Don Mueang setelah menaiki teksinya dari bandar Bangkok.
Namun, apabila tiba di sana, penumpang menyedari bahawa dia berada di lapangan terbang yang salah dan meminta Chang untuk membawanya ke Lapangan Terbang Suvarnabhumi.
“‘Jika anda berjaya tiba tepat pada waktunya dan saya tidak terlepas penerbangan, saya akan bayar anda dengan baik,’ itulah yang dia katakan kepada saya,” kata Chang kepada seorang netizen.
Chang juga menegaskan bahawa dia tidak meminta bayaran tambahan daripada penumpang.
“Mungkin penumpang itu benar-benar tidak mahu ketinggalan penerbangan kerana dia mempunyai urusan penting. Jika dikira, kerugian akibat terlepas penerbangan pasti besar, jadi baginya ia berbaloi,” katanya.
Chang menambah bahawa pada mulanya dia agak teragak-agak untuk menerima mata wang asing, tetapi penumpang tersebut terus membayar dan segera bergegas pergi.
Namun, Chang gembira untuk melaporkan kepada pengguna media sosial bahawa wang kertas tersebut memang sahih, terutama selepas ada pihak yang menyatakan wang kertas EUR500 sudah lama tiada dalam edaran.
Dalam satu komen, beliau berkongsi slip pertukaran yang menunjukkan dia berjaya menukar wang tersebut dengan THB37,600 (kira-kira RM5,000).
BACA: Saya pakai songkok senget pun mereka marah, Anwar jawab wakil rakyat persenda perkataan ketimbang