‘RM30 pun payah’, Pemandu Teksi mengeluh susah dapat penumpang di Airport Terengganu
Tidak tahu sampai bila boleh bertahan, hendak dapat RM30 sehari pun susah,”
Itu reaksi beberapa pemandu teksi Lapangan Terbang Sultan Mahmud (LTSM)
Bercerita mengenai kesukaran yang dihadapi mereka untuk mendapatkan penumpang sejak beberapa tahun lalu.
Pemandu teksi, Khairul Arifin Muhamad, 44, berkata sudah lebih tujuh tahun dia membawa teksi dan itulah sumber rezeki utamanya menyara keluarga.
“Sehari jika dapat satu trip hantar penumpang bagaikan satu rahmat buat kami.
“Pernah saya serta pemandu lain terpaksa pulang dengan tangan kosong tanpa seorang penumpang,” luah bapa kepada tiga anak ini.
Beliau berkata, sebelum ini jika mahu memperoleh RM150 hingga RM200 sehari adalah mudah, namun sejak kehadiran pemandu e-hailing menyebabkan pendapatan mereka merosot.
“Sekarang ini kalau saya datang menunggu seawal pagi sekalipun belum tentu lagi dapat penumpang.
“Apa yang boleh saya katakan, pendapatan kami merosot hampir 80 peratus dan mahu memperoleh RM30 sehari pun susah,” katanya.
Sementara itu, Pengerusi Pemilik Teksi Melayu LTSM, Rostam Mokhtar, berkata terdapat 57 pemandu yang berkhidmat di kawasan itu.
Bagaimanapun, katanya, hanya 20 pemandu sekarang yang masih aktif dan bertahan mencari rezeki di LTSM.
“Sebelum kehadiran pemandu e-hailing ke kawasan LTSM ini, kami mampu memperoleh tidak kurang RM200 sehari.
“Malah, ada yang pernah memperoleh pendapatan RM6,000 hingga RM7,000 sebulan. Namun, nasib kami begitu sukar sekarang kerana hendak dapat RM30 sehari pun susah dan ada yang terpaksa menunggu seharian untuk memperolehnya,” katanya.
Rostam berkata, dia dimaklumkan sebahagian pemandu teksi lain terpaksa berhenti dan mencari pekerjaan lain bagi meneruskan kelangsungan hidup mereka.
BACA:Apa yang perlu kita buat jika air ketuban dah pecah? Lelaki ini kongsi apa yang perlu dilakukan