Ronnie Liu pertahan Anwar, tolak cubaan pecah belah PH

Ronnie Liu pertahan Anwar, tolak cubaan pecah belah PH

Pemimpin DAP, Ronnie Liu, menongkah arus parti apabila menggesa Pakatan Harapan tidak bingkas ‘meninggalkan’ Anwar Ibrahim dalam usaha untuk meraih sokongan rakyat.

Beliau menolak sebarang cadangan untuk Anwar berundur sebagai pemimpin PH dan menggesa gabungan itu tidak terpengaruh dengan taktik “Tok Dalang” yang mahu memecah-belahkan kesatuan antara PKR, Amanah, dan DAP.

“Janganlah kita biarkan ‘Tok Dalang’ (ini) untuk memecah belah rakan-rakan (dalam PH) dan pada masa sama kita mesti menarik lebih ramai pihak menyertai perjuangan kita,” kata Liu.

Liu tidak menyatakan siapa ‘Tok Dalang’ yang dimaksudkan itu, namun Dr Mahathir Mohamad sering mengkritik kepimpinan Anwar dalam PH yang dilihat oleh sesetengah pihak sebagai mengkucar-kacirkan gabungan itu.

Liu berkata gabungan PKR, DAP dan Amanah itu harus meningkatkan permuafakatan di bawah Anwar dan bukannya melayan suara-suara yang mahukan Ahli Parlimen Port Dickson itu diganti sebagai pemimpin utama PH.

Liu yang juga ADUN Sungai Pelek mengingatkan PH mengenai ‘pengorbanan’ Anwar yang mencetuskan gerakan reformasi 1998 sehingga membolehkan PH menawan Putrajaya pada 2018.

“Ketidakadilan yang berlaku terhadap Anwar adalah punca rakyat Malaysian menyokong PH,” kata Liu.

Semalam, Ketua Pemuda DAP Sabah, Phoong Jin Sze, mendesak Anwar berundur setelah gagal menunaikan janji untuk menumbangkan kerajaan Perikatan Nasional pimpinan Muhyiddin Yassin.

Sebelum itu, Setiausaha Agung DAP, Lim Guan Eng, dan Presiden Amanah, Mohamad Sabu, mahukan kerjasama dengan pemimpin-pemimpin tertentu PN dan Umno yang digerakkan Anwar sebelum ini diberhentikan.

Mereka juga mahukan anjakan baharu untuk PH dan menuntut fokus diberikan untuk memperkuatkan barisan pembangkang termasuk mereka yang berada di luar PH.

Berita penuh : https://www.freemalaysiatoday.com/category/bahasa/tempatan/2020/12/18/tolak-cubaan-tok-dalang-pecah-belahkan-ph-kata-pemimpin-dap/