Rosmah beli barang kemas bernilai RM3.3 juta di Itali guna kad kredit Najib

Rosmah beli barang kemas bernilai RM3.3 juta di Itali guna kad kredit Najib

Najib Razak hari ini memberitahu Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur bahawa isterinya Rosmah Mansor membeli barang kemas bernilai RM3.3 juta di Itali menggunakan kad kreditnya pada 2014.

Bekas perdana menteri berusia 67 tahun itu berkata pembelian itu dibuat di sebuah butik barang kemas pada Ogos 2014 sebagai hadiah kepada isteri seorang kenamaan asing.

Semasa diperiksa balas oleh Timbalan Pendakwa Raya ad-hoc V Sithambaram, tertuduh berkata beliau yang meminta isterinya membuat pembelian itu.

Terdahulu, Najib memberi keterangan beliau membelanjakan amaun itu untuk membeli barang kemas.

Semasa Sithambaram bertanya kepada Najib berhubung jumlah sebenar barang kemas yang dibeli daripada butik itu, Najib menjawab: “Hanya satu barang kemas.”

Sithambaram kemudian meminta bekas menteri kewangan itu merujuk kepada penyata bank beliau bertarikh September 2014, yang menyenaraikan pembelian 10 barang daripada butik itu pada tarikh berkenaan.

Selepas merujuk pada penyata itu, Najib kemudian berkata ia seperti satu set barang kemas.

“Tampak seperti satu set. Tetapi saya perlu periksa dengan isteri saya. Beliau yang membeli barang ini,” katanya.

Sithambaram: Ya, hanya wanita yang tahu apa yang disukai wanita lain (sambil ketawa).

Ditanya siapa yang menyerahkan hadiah itu kepada isteri kenamaan asing itu, tertuduh berkata ia dibuat menerusi pegawai protokol dan ia merupakan amalan lazim.

Kepada soalan lain, Najib berkata beliau tidak ingat jika sumbangan berbilion ringgit yang dikatakan diterima daripada kerabat diraja Arab Saudi telah digunakan untuk usaha bantuan dalam kejadian banjir di Kelantan pada 2014.

Anggota Parlimen Pekan itu turut memberi keterangan bahawa perbelanjaan ribuan ringgit menggunakan kad kredit peribadinya adalah tidak signifikan berikutan sumbangan yang beliau terima daripada kerabat diraja Arab Saudi.

Terdahulu, Najib diasak dengan pelbagai soalan oleh Sithambaram berhubung terdapat banyak perbelanjaan membabitkan ribuan ringgit dalam penyata kad kreditnya.

Pada prosiding sebelum ini, Najib berkata satu-satunya perbelanjaan peribadi yang signifikan yang dicaj pada kad kreditnya adalah pembelian jam tangan Chanel berharga RM466,330.11 untuk isterinya Rosmah.

Sithambaram: Saya cadangkan kepada anda bahawa kenyataan anda bahawa jam tangan mewah itu satu-satunya perbelanjaan peribadi dibuat anda adalah tidak betul.

Najib: Saya layak, jam tangan itu penting. Perbelanjaan lain tidak signifikan.

Sithambaram: Namun, terdapat perbelanjaan lain (ribuan ringgit) termasuk penginapan di hotel di Rome, Bali dan Bangkok.

Najib: Ya, tetapi semua itu tidak signifikan.

Sithambaram: Tidak signifikan berdasarkan sumbangan Arab?

Najib: Ya.

Sithambaram : Signifikan bagi orang lain.

Najib membela diri terhadap tujuh pertuduhan menyeleweng RM42 juta dana SRC International, melibatkan tiga pertuduhan jenayah pecah amanah, tiga pertuduhan pengubahan wang haram dan satu pertuduhan menyalahgunakan kedudukannya berkaitan dana SRC.

Perbicaraan di hadapan Hakim Mohd Nazlan Mohd Ghazali bersambung 20 Jan.

-Bernama

Berita penuh : https://www.malaysiakini.com/news/506566