Rumah retak seribu, penduduk mohon simpati kerajaan

Oleh GEMILANGDAILY

Rumah retak seribu, penduduk mohon simpati kerajaan. Lebih 200 penduduk hidup dalam kebimbangan apabila kediaman mereka di Kampung Tengkera Pantai I dan Kampung Tengkera Pantai II, di sini, mengalami kerosakan termasuk dinding dan lantai retak dipercayai berpunca daripada projek pembinaan pangsapuri berdekatan.

Keadaan ini didakwa berlarutan sejak 2019 lagi dan menyebabkan penduduk merasakan keselamatan mereka terancam.

Penduduk, Zabariah Baba, 60, mendakwa, disebabkan kerja penanaman cerucuk yang dilakukan, siling di bahagian hadapan rumahnya beberapa kali terjatuh selain turut mengakibatkan bumbung rumah turut bocor.

Rumah retak seribu, penduduk mohon simpati kerajaan

“Kami rasa tidak tenang kerana ia membabitkan soal keselamatan. Malah kami turut mengesan ada berlakunya pergerakan tanah yang disyaki akibat dari projek itu.

“Malah keluarga saya pernah mengalami batuk yang berpanjangan akibat daripada debu yang mungkin juga dari projek itu,” katanya.

Menurut pesara guru itu, dia amat berharap pihak yang terbabit dapat mengambil tindakan segera dan lebih bertanggungjawab bagi menyelesaikan masalah ini.

Seorang lagi penduduk, Mansor Ayed, 65, berkata, berbanding kediaman lain, rumahnya yang paling terkesan teruk.

Katanya, selain dinding dan lantai yang retak, longkang bahagian luar juga mengalami kerosakan teruk.

“Selain perlu berdepan dengan segala kerosakan ini, saya dan keluarga berdepan mengalami detik cemas apabila ada kayu dari projek itu terjatuh lalu menghempap bumbung rumah.

“Mujurlah tiada yang cedera tetapi tetapi kos baik pulih saya terpaksa tanggung sendiri. Aduan sudah beberapa kali saya buat kepada Majlis Bandaraya Melaka Bersejarah (MBMB) tetapi belum ada wakil yang tampil,” katanya.

Warga emas itu berkata, sebelum ini pihak pemaju ada datang berjumpa dan memberitahu untuk memberi pampasan kira-kira RM90,000.

“Jumlah yang dicadangkan pemaju tidak berbaloi, kalau ikutkan kerugian yang saya anggarkan berjumlah RM230,000. Selain kerosakan saya turut terganggu dengan bunyi bising sehingga lewat malam,” katanya.

Sementara itu, Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan dan Keselamatan Kampung (JPKK) Tengkera, Harun Ali berkata, sehingga kini beliau sudah menerima lebih 10 aduan berhubung masalah yang dihadapi penduduk selain sudah dibawa ke mesyuarat JAPERUN.

“Kita di JPKK akan bincangkan dengan pemaju dan selesaikan masalah ini dengan kadar segera kerana projek ini terlalu dekat dengan kediaman mereka,” katanya.

BACA JUGA :

Kampung Jawa bakal ditutup selepas 100 tahun beroperasi

Muhyiddin bakal didakwa atas tuduhan rasuah RM92.5 Billion?

Ini tiga sungai di Selangor jadi hotspot lemas sebab kepala air