Rupanya ada negara yang haramkan penjualan Coca-cola, ini puncanya
Tipulah kalau kata tak pernah minum air berkarbonat atau air gas sebab ia dijual dengan sangat meluas sejak dahulu lagi.
Bahkan, ada sesetengah orang yang sangat menggemari minuman itu sehingga tidak boleh ‘berenggang’ darinya.
Salah satu jenama minuman berkarbonat paling popular di dunia adalah Coca-Cola atau juga disebut sebagai Coke.
Sejak berdekad lamanya, Coca-Cola sememangnya dikenali sebagai minuman ringan paling popular di dunia.
Bagaimanapun, tahukah anda bahawa tidak semua orang di dunia dapat menikmati minuman tersebut. Manakan tidak, rupa-rupanya ada beberapa negara yang tidak menjual air Coke atas pelbagai alasan.
Sebelum mengetahui negara mana yang tidak menjual minuman itu, eloklah jika kita meneliti terlebih dahulu sejarah pembuatan air Coca-Cola ini.
Untuk pengetahuan anda, Coca-Cola telah mula diperkenalkan pada tahun 1886 oleh seorang ahli farmasi, Dr. John S. Pemberton. Pada awalnya, resepi minuman itu mengandungi alkohol dan dijual sebagai ubat di kedai air pancut soda. Masyarakat di situ pada ketika itu percaya bahawa air tersebut dapat menyembuhkan sakit kepala, pedih ulu hati dan loya.
Kemudian, ahli perniagaan dari Atlanta, Asa G. Candler dikatakan telah membeli perniagaan Pemberton dan mendapatkan hak untuk formula minuman itu.
Difahamkan, syarikat Coca-Cola juga telah diperbadankan pada tahun 1893. Ianya berkembang sehinggalah terhasilnya minuman lain seperti Sprite, Fanta dan Schweppes. Pun begitu, Coke tetap menjadi minuman berkarbonat kegemaran ramai hingga ke hari ini.
Tidak terhenti setakat itu, syarikat tersebut telah berkembang lagi pada tahun 1923 setelah diterajui oleh Robert W. Woodruff. Coca-Cola juga telah menaja Sukan Olimpik pada tahun 1928, membuatkan jualan mereka terus meningkat.
Syarikat itu juga mendapat permintaan yang tinggi dari askar Amerika Syarikat (AS) semasa Perang Dunia Kedua pada tahun 1940 hingga 1960.
Menginjak ke tahun 1980-an, Coca-Cola telah menjadi sebuah syarikat awam yang dikenali sebagai Coca-Cola Enterprises Inc.
Negara yang tidak menjual Coca-Cola
Memetik laporan World Atlas, negara tersebut pada awalnya pernah membuka kilang pembotolan Coca-Cola pada tahun 1906. Namun, pengeluaran minuman itu telah dihentikan pada tahun 1962 selepas Fidel Castro mengetuai Revolusi Cuba dan menggulingkan bekas presiden Batista.
Kerajaan Castro dikatakan mula merampas aset yang dimiliki oleh semua negara asing yang hadir di sana dan memulakan sekatan perdagangan.
Keadaan itu menyebabkan syarikat Coca-Cola turut disita dan pihak mereka perlu keluar dari negara itu dengan segera. Selepas itu mereka tidak pernah kembali semula ke negara itu.
Semua syarikat AS tidak boleh berdagang dengan Cuba pada ketika itu memandangkan AS memegang embargo komersial, ekonomi dan kewangan terhadap Republik Cuba.
Faktor yang menyebabkan Korea Utara tidak menjual minuman ini adalah disebabkan oleh perang Korea yang berlaku dari tahun 1950 hingga 1953. Ketika itu, AS telah mengenakan sekatan perdagangan ke atas Korea Utara.
Sekatan itu diperketatkan lagi apabila Korea Utara mengebom Korea Selatan pada tahun 1980-an.
Sejak tahun 1950 hingga 2008, hubungan perdagangan antara AS dan Korea Utara juga dihadkan.
Selain kedua-dua negara itu, Myanmar juga pernah mengenakan sekatan ke atas barang dagangan AS dan tidak menjual Coca Cola selama bertahun-tahun. Bagaimanapun, ia telah berubah apabila Coca-Cola mengumumkan mengenai rancangan pelaburan lima tahun bernilai $200 juta (RM835 juta) di negara itu.
Sebuah loji pembotolan telah dibuka di bandar terbesar negara itu iaitu di Perbandaran Hmawbi.